Muhyiddin seru rakyat buat perubahan, gesa PM berundur

Muhyiddin seru rakyat buat perubahan, gesa PM berundur


Setelah digantung jawatan oleh Majlis Tertinggi Umno (MT Umno) semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa rakyat tanpa mengira kaum, agama dan ideologi untuk membentuk muafakat bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan berintegriti.

Setelah digantung jawatan oleh Majlis Tertinggi Umno (MT Umno) semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa rakyat tanpa mengira kaum, agama dan ideologi untuk membentuk muafakat bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan berintegriti.

Menurut beliau, jika rakyat ingin melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, mereka mesti bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan.

“Ia bukan sekadar mendesak Perdana Menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang telah gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk bersama-sama rakyat bangkit menentang kezaliman dan kemungkaran.

“Selamatkanlah Malaysia. Saya bersedia untuk bersama-sama anda dalam perjuangan ini. Jangan takut kerana yang Maha Berkuasa ialah Allah SWT,” tegasnya.

Muhyiddin turut menganggap keputusan MT Umno menggantung jawatan beliau sebagai sudah dijangka dan “bukan satu perkara yang mengejutkan”.

Menurutnya, sejak digugurkan daripada kabinet, beliau telah dihalang daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden.

“Saya disekat daripada menghadiri program-program parti. Majlis parti yang dianjurkan untuk saya diarahkan supaya dibatalkan. Ahli-ahli parti yang menyokong saya diugut. Malah, buat pertama kali dalam sejarah, seorang Timbalan Presiden dihalang daripada berucap dalam perhimpunan agung,” ujarnya.

Muhyiddin menambah, sepanjang enam tahun memegang jawatan Timbalan Presiden, beliau tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggung jawab membantu Presiden.

“Saya mengetuai jentera pilihanraya BN dalam setiap kali pilihan raya kecil atau pilihan raya umum dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN.

“Dengan kemenangan itulah, maka Presiden selaku ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu bermakna saya membantu Presiden?” soalnya.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa semalam mendakwa sebab utama Muhyiddin digantung jawatan kerana gagal membantu Presiden parti.

Muhyiddin menambah, beliau melakukan tugas-tugas lain seperti mempengurusikan mesyuarat pengurusan Umno, mesyuarat pengurusan BN, menyelesaikan masalah-masalah parti, memantapkan jentera pilihan raya, turun ke bahagian-bahagian dan tugas-tugas untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti.

“Ini bermakna saya telah membantu Presiden dalam mentadbir dan mengurus parti,” katanya.

Beliau juga mengakui bertanggungjawab menyampaikan pandangan dan keluhan ahli-ahli kepada Presiden serta menegur Presiden jika melakukan tindakan yang menjejaskan kepentingan Umno.

“Inilah yang saya lakukan apabila saya menegur Presiden berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion.

“Semua ini saya lakukan dengan niat untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti dan mengembalikan kepimpinan Umno ke landasan yang betul supaya Umno terus diterima oleh rakyat.

“Tetapi saya telah dihukum kerana kononnya saya tidak membantu Presiden,” kesal beliau.

TAGS