Malaysia Dateline

Muhyiddin tawar diri jadi individu pertama disuntik vaksin Covid-19

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan diri menjadi individu pertama menerima suntikan Covid-19 bagi meyakinkan rakyat Malaysia bahawa vaksin yang akan dibekalkan kepada negara adalah selamat.

Ahli Parlimen Pagoh berkenaan berkata, vaksin tersebut akan diberikan kepada petugas barisan hadapan.

“Vaksin akan diberi kepada petugas barisan hadapan sebelum diberikan kepada kumpulan sasar iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas serta penghidap penyakit tidak berjangkit dan penyakit saluran pernafasan kronik,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Sementara itu Muhyiddin berkata, kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin Covid-19, iaitu tambahan 10 peratus lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima negara.

Ini bermakna jelasnya, kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40 peratus, termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai sebelum ini bersama fasiliti Covax dan Pfizer.

Kerajaan sebelum ini menyasarkan untuk memastikan liputan vaksin diberikan kepada 70 peratus rakyat.

Muhyiddin berkata, melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai setakat ini, kerajaan akan membelanjakan keseluruhan AS$504.4 juta atau RM2.05 bilion.