Malaysia Dateline

Muhyiddin terancam, PN ibarat telur di hujung tanduk

Sejak awal pembentukan kerajaan tebuk atap selepas langkah Sheraton, AMANAH Pulau Pinang sememangnya optimis kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan stabil.

Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad berpendapat kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri umpama telur di hujung tanduk apabila plan A untuk memartabatkan kerajaan darurat tidak menjadi realiti.

Menurutnya, jika tanpa sogokan jawatan melalui pelantikan kerusi Menteri, Timbalan Menteri mahu pun Pengerusi GLC dengan mudah PN boleh ditumbangkan.

“Dalam kecelaruan dan ketidaktentuan politik tiba-tiba lahir idea luar kotak yang kurang cerdik bagi kerajaan PN mengisytiharkan darurat dengan alasan rapuh kes baharu Covid-19 yang mencanak tinggi serta pengucupan ekonomi yang membebankan kerajaan.

“AMANAH Pulau Pinang optimis isu sebenarnya adalah ancaman politik kepada Muhyiddin dan bukannya Covid-19 atau pun ekonomi sebagaimana yang didakwa, sebaliknya alasan tersirat dan tersurat adalah persoalan kuasa dan kepentingan politik,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr Roslan menyifatkan secara moralnya Muhyiddin gagal setelah hasrat yang direkacipta dua arkiteknya serta dipersetujui Kabinet beliau tidak mendapat perkenan Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertuan Agong.

“Apakah pula plan B dan C Muhyiddin akan dapat direalisasikan nanti setelah plan A ternyata tidak menjadi realiti?

“Padahal, kerajaan yang telah dibina dalam tempoh singkat ini semakin kecundang umpama menanti bangunan yang dibina menghampiri keruntuhan dan berkecai tidak lama lagi,” tambahnya lagi.