Malaysia Dateline

Muhyiddin tiada ‘jalan keluar’ bakal lanjutkan PKP

Tidak mustahil untuk kerajaan Muhyiddin melanjutkan lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerana Perikatan Nasional (PN) dianggap tidak mempunyai sebarang strategi jalan penyelesaian kepada pandemik yang timbul ketika ini.

Seperti yang dipetik melalui portal Finance Twitter, adalah tidak berlebihan untuk menyatakan lanjutan tempoh akan berterusan sehingga Mei hadapan oleh kerana ura-ura lanjutan tempoh berkenaan sudah tersebar di serata tempat, apatah lagi selepas lebih banyak jalan ditutup.

“Satu perkara yang pasti, kerajaan Muhyiddin tidak mempunyai strategi keluar untuk pandemik Covid-19.

“Bagaimana kami tahu? Selepas kami menerbitkan artikel ‘Kerajaan pemalas Muhyiddin sudah seharusnya memikirkan jalan keluar seperti Jerman’.

“Ringkasnya, kerajaan Muhyiddin yang tidak cekap telah menentang wabak ini secara ad-hoc daripada merancang strategi, malah mereka sebenarnya tidak mempunyai sebarang ‘jalan keluar’,” katanya.

Menurut portal itu lagi, langkah mudah untuk mencapai penyelesaian adalah memastikan negara mempunyai topeng muka yang mencukupi apabila perintah berkurung dilaksanakan secara berperingkat.

Namun, akhirnya negara menyaksikan Perdana Menteri sebenarnya berbohong apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan bahawa bekalan topeng muka telah meningkat sehingga 25 peratus dari hanya empat peratus.

Portal itu turut mempersoalkan bagaimana Muhyiddin boleh menyatakan bahawa negara mempunyai bekalan topeng muka yang mencukupi sedangkan bekalan pasaran hanya ada empat peratus.

“Ini jelas menunjukkan kerajaan belum menyediakan strategi penyelesaian dan orang ramai masih tidak dibenarkan meneruskan kehidupan harian mereka seperti biasa yang akhirnya akan memanjangkan lagi tempoh PKP sehingga bulan Mei.

“Selain itu, faktor politik menyumbang kepada sebab mengapa kerajaan tidak membenarkan orang ramai keluar dari rumah dan melaksanakan perintah pkp.

“Kerajaan Muhyiddin sangat rapuh dan boleh runtuh pada bila-bila masa sekiranya mana-mana sekutunya menarik diri daripada PN yang terbentuk secara tergesa-gesa,” kata portal itu lagi.

Tambahnya lagi, dengan kehadiran pengundi minoriti China dan India yang tidak sabar menunggu untuk tidak mengundi beliau, Muhyiddin juga tidak boleh menghadapi tentangan majoriti komuniti (Melayu) sendiri.

Itu menjelaskan mengapa pakej rangsangan RM250 bilion yang diumumkan baru-baru ini telah direka untuk memberi ganjaran kepada kakitangan awam seramai 1.71 juta, walaupun gaji bulanan mereka dijamin dan mereka tidak akan kehilangan pekerjaan.

Menurutnya, Muhyiddin perlu mengenakan sekurang-kurangnya tempoh PKP selama 2 bulan sebelum keputusan dapat dibuat.

PKP satu-satunya pilihan Muhyiddin untuk mengelakkan dari menghadap Parlimen yang mana sekaligus dapat memberinya masa untuk meraih sokongan dari ahli Parlimen pembangkang.

“Mengapa pihak berkuasa menggesa untuk melaksanakan 100 peratus perintah berkurung, ini kerana kerajaan tidak mempunyai strategi lain.

“Sekiranya strategi berkurung yang dilakukan Beijing tidak berfungsi di Malaysia, Muhyiddin akan menghadapi masalah,” tulisnya lagi.