Malaysia Dateline

Muhyiddin tidak saman dakwaan isu menantu dapat projek RM1.16 bilion

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata Muhyiddin Yassin tidak memberi sebarang respon susulan dakwaan menantu Perdana Menteri itu mempunyai kepentingan dalam projek kerajaan berjumlah RM1.16 bilion.

Beliau berkata, hantarannya di Facebook pada 1 Febuari lalu bertajuk “Kes menantu: Empat soalan PM kena jawab” itu bahkan tidak menerima tindakan mahkamah.

“Saya bertanya benarkah menantu PM, Datuk Adlan Berhan adalah rakan kongsi syarikat Iris (Corporation Bhd) yang dapat projek NIIS (Sistem Imigresen Bersepadu National) bernilai RM1.16 bilion?

“PMO (Pejabat Perdana Menteri) atau Muhyiddin langsung tidak jawab. Nafi pun tidak.

“Saman pun tidak juga,” kata bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu sebentar tadi.

Bulan lalu, Iris Corporation Bhd mengumumkan telah meraih kontrak membangunkan NIIS untuk Jabatan Imigresen Malaysia kerajaan bernilai RM1.159 bilion.

Menerusi satu makluman di Bursa Malaysia, syarikat teknologi itu memaklumkan bahawa anak syarikatnya Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS) telah menerima Surat Tawaran Projek (LOA) bertarikh 29 Januari 2021 untuk membangun dan membekalkan sistem imigresen.

Tempoh kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri itu ditetapkan selama 54 bulan bermula 1 Mac 2021 sehingga 31 Ogos 2025.

Susulan itu, Puad pada 1 Februari lalu mendakwa menantu lelaki Muhyiddin iaitu Datuk Adlan Berhan adalah rakan kongsi Iris manakala anak lelaki hartawan terkenal negara dan pemilik Cardiff City FC, Vincent Tan adalah pemilik majoriti saham Iris.

“Apakah benar menantu PM pemilik majoriti saham S5 System. Kedua, apakah benar S5 System adalah rakan kongsi IRIS. IRIS menggunakan konsortium untuk melobi kontrak itu dan S5 adalah pemain utamanya.

“Ketiga, benarkah anak Vincent Tan sebagai pemegang majoriti saham IRIS membeli saham tersebut selepas PRU ke-14.

“Keempat, kenapa luluskan projek mega NIIS tersebut secara tergesa-gesa pada musim darurat ini?” soalnya.

Walau bagaimanapun, Puad hari ini bertanyakan mengapa hal yang dibangkitkannya itu tidak dikenakan tindakan saman sebaliknya dikenakan tindakan mahkamah berhubung isu perbezaan tempoh kuarantin antara menteri dan rakyat.

“Kenapa? Mungkin kalau ke mahkamah, banyak rahsia akan terdedah mengenai perniagaan dan kontrak yang diperolehi oleh menantu Perdana Menteri?

“Saya hanya disaman kerana bertanya kenapa tempoh kuarantin antara Menteri dan rakyat berbeza.

“Saman ini mungkin kurang damage pada PM kalau dibicara di mahkamah,” tempelak Puad lagi.

Untuk rekod, Iris Corp menerima Surat Niat (LOI) daripada India Security Press untuk membangun sistem operasi bagi pengeluaran e-pasport India pada 7 September lalu.

Syarikat teknologi itu turut terbabit dalam pengeluaran pasport biometrik pertama di dunia untuk negara ini pada 1998.