Muhyiddin tolak dakwaan MB Johor lantik ahli Umno pegang jawatan

Muhyiddin tolak dakwaan MB Johor lantik ahli Umno pegang jawatan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan kononnya anggota Umno dilantik sebagai Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Johor Osman Sapian sehingga menyebabkan ketidak puasan hati anggota PH di peringkat akar umbi.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata individu terbabit, Fizwan Rashidi, bukan anggota atau bekas ahli Umno, sebaliknya merupakan Pegawai Tadbir Negeri.

“Yang dilantik itu ialah Ketua Setiausaha Pembangunan di bawah Pejabat Menteri Besar dan ini perkara biasa sejak zaman saya sebagai Menteri Besar lagi, jawatan ini dilantik dari kalangan Pegawai Tadbir Negeri.

“Yang beliau (Osman) lantik ialah (individu) yang dicadangkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan individu ini ialah Pegawai Tadbir Negeri. Sebab itu saya kata jangan cepat melompat,” katanya pada sidang media pertamanya sebagai Menteri Dalam Negeri, di sini hari ini.

Justeru, beliau menyeru ahli PH supaya meneliti setiap dakwaan yang mereka dengar kerana ia mungkin hanya direka-reka oleh pihak tertentu.

Dalam pada itu, Muhyiddin meminta akar umbi PH di Johor supaya bersabar dan tidak membuat kesimpulan terlalu awal terhadap kempimpinan Osman yang baharu dilantik menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

“Beri dia masa dan peluang. Saya telah maklumkan dahulu saya akan pantau, bukan untuk mencampuri urusan pentadbiran, tetapi memantau jika ada perkara-perkara yang perlu saya nasihatkan,” katanya

Muhyiddin berkata rakyat harus menilai pentadbiran kerajaan negeri berdasarkan tindakan-tindakan yang akan dibuat terutamanya dalam melaksanakan janji dalam manifesto PH untuk Johor.

“Apa yang kita tawarkan untuk negeri Johor dalam manifesto, saya telah minta untuk diberi perhatian awal seperti membekalkan air percuma 10 meter padu dan menghapuskan pembayaran lesen-lesen untuk pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.