Muhyiddin tolak jadi MB Johor, kuasa bubar Dun bukan ditangan pembangkang

Muhyiddin tolak jadi MB Johor, kuasa bubar Dun bukan ditangan pembangkang

Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan Ketua Pembangkang Dun Johor yang menginginkan beliau untuk kembali semula sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

Namun, Presiden Parti Peribumi Bersatu Malayasia (Bersatu) itu berkata, pihak yang mencadangkan punya hak dan kuasa untuk menamakan dan mencalonkan beliau.

Beliau juga sempat berseloroh menyatakan faktor usianya yang sudah tua menyebabkan beliau tidak mahu dicalonkan.

“Saya sudah tua dah (tak kan nak jadi MB lagi). Lagi pun saya sudah pernah menjadi Menteri Besar Johor pada waktu 1986 hingga 1995. Saya rasa tak wajar untuk saya kembali.

“Tapi saya sedia membantu sesiapa sahaja Menteri Besar yang dipilih untuk memastikan pentadbiran johor berjalan dengan baik.

“Saya lihat setiap pentadbiran Negeri Johor itu perlu diurus secara teratut untuk melihat Johor sentiasa ke hadapan dan memberi faedah kepada rakyat,” katanya ketika sidang media selepas lawatan kerja rasmi di Stesen Udara Maritim Subang, hari ini.

Pada Rabu Ketua Pembangkang Dun Johor Datuk  Ir. Hasni Mohammad berkata akan mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi membincangkan kemungkinan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Hasni yang juga Pengerusi Umno Johor berpendapat tiada ahli Dun Pakatan Harapan yang layak menjadi menteri besar selain Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kerana katanya, Johor sebuah negeri yang rumit dan tidak boleh mempunyai seorang menteri besar yang tidak berpengalaman.

Muhyiddin berkata  Umno Johor untuk  membubarkan Dun   tidak seharusnya berlaku. Malah, cadangan itu dikatakan sebagai tidak perlu kerana perkara itu hanya boleh dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan negeri yang memenangi majoriti kerusi di negeri itu, bukannya pihak pembangkang.

“Kita kuasai kerusi besar di Johor. Jadi maknanya itu kerusi dimenangi PH dan saya tak faham apa maksud yang disebutkan oleh pihak pembangkang Johor nak bubarkan dewan negeri,”jelasnya.

Ditanya tentang kemungkinan Bersatu akan memberi laluan kepada salah seorang calon AMANAH yang diperkatakan sebagai calon MB Johor, beliau berkata ia bergantung kepada kerajaan Johor.

Katanya, Pilihanraya Umum (PRU) ke 14 lalu sudah memutuskan siapa yang sepatutnya memegang jawatan sebagai MB Johor, iaitu dari Bersatu sendiri.

“Tetapi saya bersikap terbuka tentang soal itu. Kita mengamalkan sistem demokrasi kepada sesiapa sahaja yang bersuara dan bebas mencadangkan sesiapa.

“Saya fikir ini juga bukan satu krisis ataupun perbalahan intra Pakatan Harapan. Saya bersikap terbuka,” ujarnya.