Malaysia Dateline

Muhyiddin undang ke bangunan Perdana Putra, kata Adun DAP Johor

Selepas sehari tersebar gambar Adun DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali tersenyum bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua DAPSY Johor itu akhirnya tampil memberi penjelasan.

Dalam kenyataan ringkasnya malam tadi, Setiausaha Publisiti DAP tersebut mengakui pertemuannya dengan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh di Johor itu “adalah benar”.

Tanpa memberitahu tujuan perjumpaan dengan Presiden Bersatu tersebut, beliau hanya memaklumkan pertemuan itu berlaku di bangunan Perdana Putra pada petang 15 Jun lalu.

“Pertemuan tersebut adalah atas undangan YAB (Yang Amat Berhormat) PM (Perdana Menteri).

“Sebagai ahli DAP, pertemuan saya dengan YAB PM adalah dalam pengetahuan pimpinan parti,” jelasnya dalam kenyataan yang turut disertakan terjemahan bahasa Cina itu.