Malaysia Dateline

Muhyiddin vs Mahiaddin, Awang terlepas

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membatalkan perintah tahanan seorang bernama Awang Sari Lasikan kerana Menteri Dalam Negeri yang tandatangani perintah tersebut tidak guna nama rasminya seperti dalam MyKad.

Nama Menteri itu dalam MyKad adalah Mahiaddin Md Yasin tapi dia tanda tangan guna nama Muhyiddin Mohd Yassin.

Ya, orang yang mahkamah maksudkan itu adalah sama dengan orang yang sekarang jadi Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional.

Walaupun masa dia menandatangani perintah tahanan itu dia sudah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri PN tapi masih pegang jawatan Menteri Dalam Negeri.

Sila baca berita penuh yang dipautkan untuk kefahaman yang lebih lengkap dan jelas. Boleh jadi ini adalah permulaan kepada lebih banyak kes habéas korpus dibawa ke mahkamah.

Soalnya sekarang, nama manakah yang digunakan masa dia bertanding pilihan raya dan dalam dokumen-dokumen rasmi (lisan dan tulisan) termasuklah watikah pelantikan dan angkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri?

Keterangan ketika perbicaraan mengatakan bahawa di bawah Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969, nama yang dinyatakan dalam warta adalah Mahiaddin Md Yasin.

Oleh sebab Mahkamah Tinggi sekarang berkata, nama Muhyiddin Mohd Yassin tidak sah dalam dokumen rasmi, iaitu perintah tahanan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, adakah ini bermakna nama tersebut tidak boleh atau tidak sah untuk tujuan-tujuan rasmi.

Adakah kita sekarang tertakluk atau lebih selamat menggunakan nama yang tertera dalam MyKad, iaitu Mahiaddin Md Yasin?

Dan adakah segala tindakan mahkamah yang menamakan Muhyiddin Mohd Yassin sebagai plaintif atau defendan tidak sah kerana nama dia yang sebenar adalah Mahiaddin Md Yasin?

Wallahuaklam. Terima kasih.

————-

Tulisan asal ditulis dalam Facebook penulis.