Malaysia Dateline

Muhyiddin wajar segera bubar Parlimen

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya segera membubarkan parlimen bagi memberi peluang sepenuhnya kepada rakyat untuk membuat pilihan mengenai kerajaan yang akan memimpin negara ini.

Malah dengan membiarkan kerajaan yang tidak stabil ini meneruskan kepimpinan negara, rakyat senantiasa berada dalam kecelaruan yang berterusan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Awan Pulau Pinang, Aida Yusof.

Tegasnya, antara, kelemahan ketara terserlah ialah menteri-menteri yang dibiarkan berleluasa melakukan apa saja termasuklah melanggar SOP kuarantin PKP yang telah mereka sendiri tetapkan.

Selain itu katanya, yang terbaru ialah membuli secara cyber kes membabitkan Vevenoah dan fakta yang tidak tepat sering dikeluarkan oleh menteri tebuk atap di Parlimen.

“Lebih memalukan apabila Ahli Parlimen yang juga menteri lompat katak memalukan diri sendiri dengan menuduh kerajaan PH, sedangkan ia juga merupakan menteri yang terlibat.

“Duta khas PM ke Timur Tengah tanpa fungsi sebenar dan membazirkan wang termasuklah memberi habuan politik melalui kerusi empuk menerajui GLC.

” Sebetulnya kabinet PN sedia ada terbukti tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat. Sejajar dengan itu Pilihan Raya Negeri Sabah juga harus menjadi pengajaran kepada kerajaan yang menodai demokrasi dan mandat tidak sepatutnya diberikan kepada mana-mana komponen PN, ” tegas Aida.

Sehubungan itu beliau menyeru rakyat negeri Sabah supaya tidak terpengaruh dengan janji-janji politik kerajaan tebuk atap, sebaliknya menolak PN dari terus menodai mandat rakyat.