Malaysia Dateline

Muhyiddin yang terancam cuba kukuhkan pengaruh dalam Bersatu, kerajaan

Ramai pemerhati kecewa dengan pembentukan Kabinet “kerajaan pintu belakang” yang terlalu besar saiznya di kala ekonomi negara dalam keadaan muram dan tidak menentu.

Di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin, tanpa mengisi jawatan timbalan perdana menteri pun, jemaah menteri bertambah kepada 32 orang, manakala jumlah timbalan menteri lebih ramai lagi, iaitu 38. Beberapa kementerian — termasuk bukan potfolio kritikal — mempunyai dua timbalan menteri, sedangkan di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad yang mendapat mandat rakyat dalam PRU14, saiz Kabinet dikecilkan.

Ternyata Muhyiddin yang membentuk kerajaan ekoran pengkhianatan dan pembelotan sebilangan ahli-ahli Parlimen Bersatu dan PKR menjadikan pembentukan Kabinet ini untuk “membalas budi” wakil-wakil rakyat yang “membuka pintu” sehingga tumbangnya kerajaan pilihan rakyat. Akhirnya, pihak yang menang dalam pilihan raya bertukar menjadi pembangkang, dan kumpulan yang kalah pula berkuasa di Putrajaya.

Perkembangan ini agak membimbangkan. Demi mengekalkan kuasa, segalanya serba mungkin. Dikhuatiri agenda reformasi institusi dan pembaharuan pentadbiran yang diimpikan rakyat akan terkubur begitu sahaja. Itu belum dibayangkan lagi proses perundangan terhadap kes-kes berprofil tinggi melibatkan pentadbiran Najib Razak.

Kini terdapat beberapa kelompok yang berkongsi kuasa melalui “pintu belakang”, susulan Langkah Sheraton itu. Barisan Nasional (Umno, MCA dan MIC), Pas, Bersatu geng Muhyiddin bergabung dengan kumpulan Azmin Ali yang dipecat PKR, dan GPS. Persefahaman dan kerjasama kelompok ini begitu rapuh. Potensi untuk mereka saling bercakaran begitu tinggi sekali.

Tidak perlu menunggu PRU15, khususnya di Semenanjung, ketiga -tiga puak, iaitu Umno, Bersatu dan Pas akan berdepan masalah besar dalam proses agihan kerusi terutama di konstituensi Melayu. Tiada parti yang boleh mendakwa sebagai “abang besar” dalam Perikatan Nasional itu. Malah hasil pembahagian anggota pentadbiran, menteri dan timbalan menteri, serta potfolio tertentu baru-baru ini sudah mencetuskan kontroversi.

Muhyiddin mengambil kesempatan untuk mengukuhkan kedudukannya yang cukup rapuh sekarang. Sokongan majoriti ahli Parlimen terhadapnya belum teruji di Dewan Rakyat apatah lagi apabila pesaingnya, Dr Mahathir Mohamad mendakwa mempunyai “cukup bilang” ketika Yang di-Pertuan Agong mengumumkan pelantikan perdana menteri dua minggu lalu.

Dalam tempoh dua bulan sebelum sidang Dewan Rakyat, Mei depan, yang dijangka ada usul tidak percaya kepada perdana menteri, Muhyiddin pastinya giat mengatur strategi untuk “membeli sokongan”. Berbekalkan pengaruh hebat dan senarai kuasa panjang ketua eksekutif, kelebihan memihak Muhyiddin. Proses tawar-menawar dipercayai berterusan, bermula pembentukan Kabinet tempoh hari dan banyak agihan sumber-sumber lain.

Kegusaran semakin bertambah melihatkan ada nama-nama yang tersenarai daripada 114 ahli Parlimen menyokong Mahathir turut dilantik menjadi anggota pentadbiran “kerajaan pintu belakang”. Permainan curang dalam kalangan elit politik cukup merimaskan; mandat rakyat bagaikan komiditi dagangan bagi mengisi tembolok masing-masing.

Muhyiddin juga mengeksploitasi peluang terbaik mengukuhkan kedudukannya dalam parti Bersatu yang kini terbahagi dua. Pengaruh Mahathir mahu diminimumkan terutama di musim pemilihan ini. Justeru, Bersatu mendapat layanan paling istimewa dalam pembentukan Kabinet, termasuk menempati posisi menteri- menteri kanan. Geng Azmin yang berpaling tadah turut diberi penghargaan apabila hampir semuanya dilantik menteri dan timbalan menteri.

Serentak masa sama, Muhyiddin mengambil langkah waspada terhadap saingan utama daripada Umno. Bukan rahsia lagi, dalam PRU15 nanti, selain cabaran sengit daripada Pakatan Harapan (PH), Bersatu akan berentap dengan Umno bagi menentukan siapa calon terbaik mewakili Perikatan Nasional. Malah tidak mustahil, gabungan rapuh ini mungkin terburai sebelum pilihan raya lagi. Berbeda dengan persefahaman dalam PH yang menyaksikan saling menghormati antara parti komponen, situasi sama sukar diperolehi dalam MN.

Malang sekali buat negara yang diasak pelbagai cabaran ekonomi global dan masalah yang timbul daripada Covid-19, kita pula diganggu dengan budaya politik yang menjijikkan. Masa, wang, tenaga dan sumber dibazirkan bagi menangani langkah pengkhianatan memperdagang undi rakyat.