Muhyidin akui ada tawaran sertai parti, mungkin tubuh parti baru

Muhyidin akui ada tawaran sertai parti, mungkin tubuh parti baru

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Sri Mukhriz Mahathir mengakui menerima tawaran menyertai parti tertentu tetapi belum membuat keputusan sama ada akan menyertai mana-mana parti atau menubuhkan parti baru selepas dipecat daripada Umno.

Muhyiddin berkata, beliau dan Mukhriz akan berbincang dengan lebih mendalam mengenai hala tuju mereka dan mungkin akan tubuh parti baru.

“Ini bukan soal tubuh parti semata-mata tetapi kita kena fikirkan rakyat keseluruhan.

“Mungkin akan tubuh parti baru tapi itu kita bincang dan ambil kira semua perkara,”katanya dalam sidang media bersama Mukhriz di Rumah Kelab Alumni Universiti Malaya, Petaling Jaya petang ini.

Turut serta dalam sidang media ini adalah ahli parlimen Pas dari Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan para penyokong Muhyidin.

Sebelum ini, Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) membayangkan kemungkinan bakal wujud parti baru di negara ini.

Menamakan kumpulan penentang Najib itu sebagai 3M (Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir), Ketua GKCM Kamarul Azman Habibur Rahman mempertikaikan tanggapan mereka tidak lagi berpengaruh.

“Benarkah 3M ini tidak ada pengaruh? Bagaimana jika mereka menubuhkan sebuah parti baru?

“GKCM akan mula bertindak. Umno akan dilanda badai ketidakpercayaan yang amat dasyat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

GKCM adalah gabungan pemimpin Umno peringkat bawahan yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

COMMENTS

Wordpress (0)