Malaysia Dateline

Mujahid alu-alukan orang Melayu sertai AMANAH, PKR selain Bersatu

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof turut mengalu-alukan orang Melayu menyertai AMANAH atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya Melayu dibawa kepada taraf dan tahap yang lebih dinamik dan progresif dalam keadaan Malaysia Baharu

Beliau berkata, ini kerana idea yang dibawa Umno dan Pas, sudah lapuk dan tidak lagi dapat membawa orang Melayu ke arah yang lebih progresif.

Katanya, orang Melayu kini tiada pilihan selain menyertai parti-parti kerajaan seperti AMANAH, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kita bukan bercakap tentang parti, tapi kita nak supaya Melayu itu dibawa kepada taraf dan tahap dalam keadaan Malaysia baru yang lebih dinamik dan progresif.

“Yang parti lain (Umno dan Pas) ini tidak mungkin bawa (ke tahap itu) sebab idea mereka sudah lapuk dan sudah tepu dengan berbagai idea yang tak maju, dan juga pelbagai isu rasuah yang berlaku.

“Maka, kita tidak melihat Melayu ada pilihan melainkan kepada parti yang ada iaitu AMANAH, Bersatu atau PKR,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Street Raya Masjid dan Surau Jumaat di Wilayah Persekutuan, hari ini.

Semalam, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa semua parti politik Melayu termasuk Umno menyertai Bersatu dalam usaha menyatupadu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Pengerusi Bersatu itu berkata kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

Ketika ditanya wartawan mengenai kenyataan Dr Mahathir semalam, Mujahid berkata kerajaan pada hari ini menuju ke arah Malaysia Baharu dan membawa dasar progresif membangunkan negara.

“Kita tahu apa yang berlaku pada Umno dan pemimpin-pemimpinnya dan kita juga tahu bagaimana Pas dalam keadaan sekarang (bersama) Umno yang tidak boleh memberi kekuatan kepada satu dasar yang kita nak bawa bersama.

“Sebab itulah Tun Dr Mahathir mencadangkan bahawa parti-parti Melayu yang lain semua menyertai Bersatu dan kita juga mengalu-alukan sertai AMANAH atau PKR,” ujarnya.