Malaysia Dateline

Mujahid ambil kira isu komunikasi kerajaan yang dibangkitkan perwakilan

Selain isu komitmen menteri dibangkitkan dalam intipati perbahasan hari ini, para perwakilan turut tidak berhenti menyentuh isu komunikasi kerajaan yang tidak berkesan dalam menyampaikan maklumat ke peringkat akar umbi.

Dakwaan bahawa maklumat kerajaan tidak sampai ke akar umbi, diperakui Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang menyatakan isu komunikasi terdapat kelemahannya

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak boleh mengongkong kebebasan media hanya kerana mereka dilihat kalah dalam menangkis segala serangan pembangkang.

Sebaliknya menurut Ahli Parlimen Parit Buntar itu, kerajaan perlu menumpukan persaingan sihat kepada penyampaian media oleh kerana ia merupakan perjuangan mereka sewaktu berada dalam blok pembangkang.

“Dari segi lomunikasi memang kita ada banyak kelemahan. Tapi dalam masa setahun setengah dengan mengambil alih sebuah kerajaan yang berusi 60 tahun, sudah tentu tidak mudah dijangka oleh perwakilan.

“Ketika kita menguasai kerajaan, kita membawa kebebasan media kerana dah lama kita perjuangkan yang merupakan asbab orang menyokong kita.

“Sebab itu saya kata, perwakilan ada gap (lompong) untuk memahami apa yang kita perjuangkan, aspirasi kami yang tak dapat digarap sepenuhnya,” katanya kepada pemberita semasa Konvensyen Nasional 2019 Parti Amanah Negara (AMANAH), di Pusat Konvensyen (IDCC), hari ini.

Sementara itu katanya, anggapan bahawa kerajaan sedang menggali ‘kubur’ sendiri juga adalah tidak benar.

Ini kerana katanya, segala dakwaan pembangkang akan dapat diatasi oleh PH hanya dengan penyebaran fakta yang benar, dan bukannya dengan kongkongan yang semakin mencengkam media.

“Dakwaan orang mengatakan kita gali kubur sendiri pun salah. Kita melawan arus, melawan berita tak betul dengan fakta, dengan kita juga menggunakan kebebasan media dengan semua kemudahan yang ada.

“Saya lebih yakin kita kena lebih bersaing dengan maklumat tepat dan media kita. Bersaing dengan kita punya platform. Persaingan sihat penyampaian media berbanding kita terus menghalang,” ujarnya.