Malaysia Dateline

Mujahid yakin Skuad AWAN D’Siber bakal perbaiki sistem komunikasi pencapaian kerajaan

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyambut baik ucaptama Ketua Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Dr Siti Mariah Mahmud yang mengumumkan penubuhan Skuad AWAN D’Siber sebagai medium penerangan parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menyifatkan skuad tersebut sedikit sebanyak membantu Pakatan Harapan (PH) memperbaiki sistem komunikasi untuk menyebarluas pencapaian kerajaan ke setiap peringkat akar umbi.

“Saya kira ucapan yang cukup baik sekali kerana ia satu kritikan dan memberi semangat kepada kami sebagai kerajaan untuk memperbaiki sistem penyampaian dan penerangan kepada rakyat,” katanya.

Dalam keadaan kerajaan dilihat gagal menangkis perang persepsi, penubuhan skuad tersebut boleh disifatkan bertepatan pada masanya bagi menguasai semula ruang siber, sekali gus membentuk persepsi rakyat.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, penubuhan skuad media AWAN ditambah dengan kewujudan hampir 300 Duta Rahmah di seluruh negara, secara tidak langsung bakal membantu menyebarkan gagasan Islam Rahmat Untuk Semua yang diketengahkan oleh kerajaan.

“Kita sokong AWAN berperanan dalam perkara ini,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Ditanya bagaimana AWAN dapat berperanan secara berkesan memandangkan tidak ramai tenaga asatizah dalam sayap wanita parti itu, Mujahid menjelaskan ia bukan satu isu utama.

“Tidak semestinya kita nak bersaing dengan orang lain, nak buktikan siapa lebih Islamik. Saya ulang beberapa kali perkara ini.

“Apa yang lebih utama, kita mahu kalau boleh mesej kita dirasai oleh orang ramai. Kita perlu menyentuh mereka dengan kasih sayang.

“Banyak pendekatan boleh dibuat, bukan sekadar ceramah sahaja, program turun padang, keprihatinan kita, keperibadian kita, kepedulian kebajikan kita dan pemikiran kita yang progresif itulah sebenarnya yang memberi kesan kepada orang,” ujarnya lagi.

Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib dan isteri turut menghadiri Konvensyen AWAN Nasional malam tadi.