Malaysia Dateline

Mujahid angkat pentadbiran Rahmatan lil Alamin sebagai kejayaan terbesar JPM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, hari ini membentangkan laporan pencapaian kementeriannya yang menyaksikan JPM menutup tirai 2019 dengan tujuh kluster utama.

Dalam satu taklimat dan sidang media khas hari ini, Mujahid membentangkan pencapaian kementerian bertema ‘Menuju Negara Rahmah’ yang menyenaraikan kejayaan JPM melaksanakan dasar Rahmatan lil Alamin dalam pentadbiran kerajaan baharu.

Paling utama katanya, gagasan yang diluluskan itu melalui proses yang telah dibawa ke Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Kejayaan paling besar secara rasminya, kerajaan hari ini menerima dasar pentadbiran Rahmatan lil Alamin.

“Saya dimaklumkan, dasar sebelum ini iaitu Wasatiyyah, Islam Hadhari, mereka tak lalui proses untuk minta persetujuan dari Majlis Kebangsaan, Majlis Raja-Raja, dan Kabinet.

“Tapi Alhamdulillah apa saya lakukan dalam merealisasikan dasar ini telah mengikut proses yang betul, yang menandakan perkara ini dibuat mengikut proses demokrasi,” katanya dalam sidang media di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

Timbalan Menteri Agama, Fuziah Salleh; Yang Di Pertua YADIM, Nik Omar Nik Aziz.

Sementara itu, tujuh kluster utama yang disenaraikan, merangkumi Kluster Kehakiman dan Perundangan; Dakwah dan Media; Pendidikan dan Modal Insan; Sosio Ekonomi; Pengurusan Haji dan Pensijilan Halal; Pengurusan Masjid; Maqasid dan Penyelidikan.

Menyentuh Kluster pertama iaitu Kehakiman dan Perundangan, kementerian berjaya mewujudkan Mahkamah Syariah Hadhanah dan Nafkah pada September lalu.

Rang Undang-undang Guaman Syarie turut diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Julai lalu dan diluluskan di Dewan Negara pada 31 Julai.

“Setakat 11 December, sebanyak 65 peratus kes telah selesai di mana dari jumlah 81 kes pada September, kini tinggal 26 kes sahaja belum selesai. Kita dah capai satu KPI yang tak pernah dicapai sebelum ini,” katanya.

Kluster kedua pula menyentuh tentang kejayaan Dakwah dan Media, yang antaranya berjaya dilaksanakan melalui Karnival Rahmah 2019 demi merakyatkan gagasan Rahmatan lil Alamin, penganjuran Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019, dan Pelancaran 10 siri buku Konsep Rahmatan bertujuan memberi pemahaman kepada masyarakat.

Kementerian itu juga direkodkan berjaya mengadakan 14 siri Town Hall dan Dialog di seluruh negara berkenaan gagasan Negara Rahmah, disamping memperuntukkan sehingga RM75 Juta kepada sekolah pondok berdaftar dan institusi Tahfiz.

Manakala RM2.6 Juta diperuntukan untuk Tabung Kebajikan Guru Kafa yang berada di bawah kluster Pendidikan dan Modal Insan.

Dibawah Kluster Sosio Ekonomi pula, JPM berjaya memperuntukan RM33.2 Juta bantuan zakat khas kepada 54,331 asnaf di Wilayah Persekutuan dan mewujudkan Foodbank di masjid di Wilayah Persekutuan dan IPT yang dikenalpasti.

Sementara itu, Kluster Pengurusan Haji dan Pensijilan Halal, menyaksikan kedudukan Lembaga Tabung Haji semakin kukuh dengan kedudukan jumlah aset terkini melebihi RM2.3 bilion berbanding sebelum ini.

Bagi menjayakan kluster Pengurusan Masjid pula, kementerian melaksanakan program Rakan Masjid Hospital dan mengadakan program Masjid Wilayah Persekutuan Open Day 2019.

Kluster terakhir yang berada di bawah Kementerian Agama itu turut memperlihatkan Maqasid dan Penyelidikan berjaya dilaksanakan, melalui pembinaan Fiqh Ta’amul sebagai kerangka hubungan antara penganut agama Islam dalam negara.