Malaysia Dateline

Mujahid dan serangan persepsi terhadapnya

Kematian Allahyarham Muhamad Adib telah menggemparkan Negara. Umum tahu dan mengikuti isu rusuhan kuil secara dekat. Sebahagian mengikuti isu ini dengan fakta sementara sebahagian lain dengan emosi dan ditambah pula siraman api perkauman diadun dengan persepsi yang dimainkan dalam kalangan pengguna media sosial. Ternyata agak ramai yang akhirnya tewas dengan persepsi-persepsi yang dibina sepanjang isu ini berlangsung.

Antara mangsa serangan persepsi bertali arus ini adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa. Beliau menjadi mangsa hanya dengan sebaran beberapa keping gambar tanpa diceritakan apa yang berlaku disebalik gambar-gambar tersebut. Sehingga digambarkan seolah-oleh Mujahid lebih membela golongan bukan Islam berbanding dengan orang Islam (Allahyarham Adib) itu sendiri.

 

Gambar ini sebagai contohnya, digambarkan seolah-oleh Mujahid lebih meraikan jenazah orang bukan Islam berbanding jenazah orang Islam. Namun hakikatnya, gambar yang dirakam pada 16 Mac 2010 itu sewaktu Mujahid yang merupakan ahli parlimen Parit Buntar mengunjungi mendiang Siva Pandian yang merupakan Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Perak yang meninggal dunia kerana insiden tembakan pada 2010. Sewaktu Allahyarham Adib menghembuskan nafas terakhir, Dr Mujahid sedang berada di luar Negara. Namun cetusan satu gambar dengan persepsi yang ditanam cukup untuk memberi satu gambaran buruk buat Dr Mujahid.

 

Gambar kedua ini pula disebarkan dengan membina persepsi bahawa Mujahid menyokong pihak kuil. Sedangkan hakikatnya kunjungan Mujahid ke kuil ini adalah untuk meredakan suasana yang semakin keruh selepas kes serangan terhadap Allahyarham Adib. Dr Mujahid menziarahi Allahyarham Adib seawal Allahyarham dimasukkan ke Hospital lagi. Menyedari kesan buruk yang bakal melanda jika rusuhan ini tidak dikawal, maka beliau mengambil pendekatan sebagai Menteri yang paling awal turun berjumpa jawatankuasa kuil untuk meredakan keadaan.

Pada hemat beliau suasana ini jika tidak dibendung akan menjurus kepada tindak balas berantai yang tidak berkesudahan seperti masjid atau rumah-rumah ibadat lain pula diserang dan ini bakal merugikan semua pihak dan negara. Kehadiran beliau juga sebagai satu isyarat penting kepada masyarakat bukan Islam bahawa agama Islam tidak pernah mengajar umatnya menceroboh rumah ibadah orang lain. Beliau turut menegaskan tindakan merusuh dan menceroboh kedua-duanya perlu dibawa ke muka pengadilan.

Jesteru amatlah tidak adil, Dr Mujahid menerima kejian dan makian hanya kerana berlegarnya gambar-gambar yang sudah semestinya menuntut penjelasan dari beliau sendiri atas setiap tindakan yang beliau lakukan.

Mungkin beliau seorang yang mampu memaafkan semua pihak yang menyalaherti setiap tindakan beliau, tetapi atas tanggungjawab yang beliau pikul sudah tentu masa hadapan, keharmonian dan kestabilan negara menjadi pertimbangan utama beliau dalam bertindak.