Mujahid desak penjelasan kerajaan negeri bakal calon BN Parit Buntar salah guna kuasa

Mujahid desak penjelasan kerajaan negeri bakal calon BN Parit Buntar salah guna kuasa

Naib Presiden Parti AMANAH Negara Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa mendesak  kerajaan negeri Perak memberikan penjelasan mengenai sekeping cek yang menjadi tular dipercayai merujuk kepada bakal  calon BN di Parlimen Parit Buntar yang menyalahguna kuasanya.

Sekeping cek atas Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah dikeluarkan berjumlah RM25,000 pada tarikh 8 Februari 2018 kepada nama individu yang dikatakan Pengerusi Pasti Pra Tahfiz Al Mujahideen Parit Buntar.

Individu ini juga adalah bekas Ketua Penerangan Pas Parit Buntar dan pemilik premis Dataran Purnama.

“Saya amat terkejut dengan sebaran yang ditularkan bahawa bakal calon BN Parlimen Parit Buntar yang masih menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri hingga kini telah menyalahgunakan kedudukannya.

“Saya ingin memohon penjelasan sama ada nama cek atas Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri boleh dikeluarkan ke atas nama individu kerana setahu saya Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri hanya boleh dikeluarkan dalam bentuk sumbangan kepada organisasi, syarikat, akaun amanah atau NGO dan bukan kepada akaun individu.

“Jumlah RM25ribu juga agak besar untuk mana-mana individu menerima sumbangan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri dengan menggunakan cek Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI).

“Apakah Pasti Mujahideen Kampong Kedah tersebut tidak mempunyai akaunnya sendiri, kenapakah seorang Setiausaha Kerajaan Negeri yang hanya seorang pentadbir tidak memahami konsep akauntabiliti?”, soalnya dalam kenyatana hari ini.

Dr Mujahadi berkata, tindakan Setiausaha Kerajaan Negeri ini boleh dianggap sebagai salahguna kuasa, apatah lagi nama beliau dikatakan bakal dikemukakan sebagai calon BN di kerusi Parit Buntar.

“Keghairahan beliau ingin menjadi calon telah menyebabkan imej seorang pentadbir kerajaan telah tercalar.

“Saya mengajak beliau bersikap ‘gentleman’dan membersihkan imej beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang hanya pentadbir, dan kalau berminat bertanding dalam politik pilihan raya, turunlah sebagai ahli politik dan jangan berselindung atas jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk tujuan politik kepartian. Bertarunglah secara lelaki, barulah anda dihormati,” ujarnya.

Sekeping cek yang tular  diterima atas nama individu dipercayai diberikan oleh  calon BN Parit Buntar yang juga kini memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote