Mujahid gesa ibu bapa hantar anak ke pusat tahfiz berdaftar

Mujahid gesa ibu bapa hantar anak ke pusat tahfiz berdaftar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar lelaki sebuah maahad tahfiz di Lanchang Temerloh yang maut dengan kesan lebam di badannya.

Dalam kenyataan medianya Mujahid turut melahirkan rasa sedih apabila pihak polis menemui kesan lebam pada badan mangsa yang baru berusia tujuh tahun.

“Saya rasa sungguh sedih apabila anak yang baru berusia tujuh tahun baru hendak mengenal dunia menjadi mangsa, saya percaya pada kecekapan pihak polis dan berharap agar hasil siasatan yang dijalankan dapat mengetahui punca kematian anak berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mujahid sekali lagi mengingatkan para ibu bapa agar menghantar anak mereka ke pusat tahfiz atau sekolah pondok yang berdaftar.

Ini kerana, menurutnya ia bagi memudahkan kerajaan serta Jabatan Agama Islam Negeri memantau segala kegiatan kokurikulum serta aktiviti-aktiviti yang dilakukan di pusat berkenaan agar mengikut piawaian demi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin.

“Saya selalu sebut tentang kepentingan pusat tahfiz berdaftar dengan pihak berkuasa supaya perjalanannya dipantau dengan baik dan terkawal.

“Keselamatan para pelajar keutamaan perlu diberikan perhatian, sebab itu selalu diperingatkan para ibu bapa, pastikan pusat tahfiz hendak dihantar anak-anak berdaftar, infra yang baik, agar pelajar dapat mengikuti pengajian dengan sempurna dan selamat,” ujarnya.

Semalam pelajar lelaki di sebuah maahad tahfiz meninggal dunia dipercayai dipukul rakannya dalam kejadian di Lanchang, di Temerloh.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, mangsa berusia tujuh tahun ditemui dalam keadaan lemah oleh warden wanita sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang untuk menerima rawatan.

Maahad berkenaan dilaporkan hanya mempunyai empat pelajar sahaja termasuk mangsa dan ia mula beroperasi sejak Januari lalu.

Siasatan awal mendapati mangsa mula belajar di maahad berkenaan pada pertengahan Oktober lalu bersama abang tirinya.