Malaysia Dateline

Mujahid gesa kerajaan negeri Perak pertahan hutan kayu bakau

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menggesa kerajaan negeri Perak mempertahankan kawasan hutan kayu bakau Sungai Betul Bawah di Tanjung Piandang dengan menilai semula kelulusan pembangunan akuakultur di kawasan itu.

Menurutnya, kelulusan di atas tanah seluas 200 ekar yang diberikan kepada sebuah koperasi bermodal RM4,000 itu dibimbangkan akan menjejaskan pendapatan nelayan pantai di situ.

Hasil pertemuan dengan nelayan terbabit kelmarin, beliau berpendapat projek akuakultur sedia ada di kawasan Sungai Betul Bawah sudah mencukupi malah banyak menimbulkan masalah dengan masyarakat nelayan di sana.

“Dasar Lestari kerajaan Negeri Perak di bawah YAB Menteri Besar yang baru antara lainnya ialah memastikan hutan kayu bakau dipelihara dan dipulihara atas keseimbangan ekosistem dan menjadi penampan semulajadi kepada ancaman tsunami.

“Kelulusan ini akan menjejaskan segala keperluan untuk memelihara hutan bakau sekelilingnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mujahid menyeru kerajaan menilai kembali kelulusan oleh Pengerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) tersebut atas kepentingan mengekalkan hutan kayu bakau dan mengelakkan kehidupan penduduk sejak bergenerasi sebagai nelayan persisiran pantai daripada terjejas.

“Sebagai Ahli Parlimen yang selama ini mempertahankan kelestarian hutan kayu bakau di persisiran Bagan Tiang hingga ke Kuala Gula, saya menyeru YAB Menteri Besar selaku Pengerusi SADC dan ahli lembaga pengarah dari Ahli-Ahli Yang Berhormat mengambil tindakan segera atas aduan rakyat di Sungai Betul Bawah ini,” tambahnya lagi.