Malaysia Dateline

Mujahid, Hamka, Muluk dan Tanah Air

Mujahid Yusuf (gambar bawah), bekas Menteri Agama semasa zaman Pakatan Harapan menulis sebuah artikel menarik yang bertajuk ‘Nasihat syariat buat para muluk dalam suluk bersiyasah’. Saya cuba mengupas lebih lanjut persoalan tersebut kerana sangat penting difahami secara tuntas oleh masyarakat. Terutama dalam negara dibelenggu seribu  satu permasalahan, negara sangat memerlukan pemimpin yang boleh menyelesaikan masalah. Bukan menimbulkan masalah remeh temeh yang menyesakkan lagi rakyat untuk bernafas.

Berdasarkan tajuk tersebut, Mujahid cuba membawa pandangan bagaimana jalan yang agama sarankan kepada pemimpin untuk bersiasah. Penggunaan istilah ‘muluk’ dalam tulisan Mujahid adalah suatu yang asing dalam kamus pemikiran orang Melayu. Perkataan ‘muluk’ adalah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud raja-raja dan juga boleh merujuk pemimpin samada Perdana Menteri, Menteri, wakil rakyat, ketua kampong dan sebagainya.  Pada hakikatnya, setiap individu adalah pemimpin bagi orang yang berada di bawah jagaannya.

Begitu juga istilah ‘suluk’ biasa digunakan dalam tasawuf. ‘Suluk’ atau jalan ke arah mencapai kesempurnaan batin. ‘Suluk’ juga boleh dimaknai sebagai jalan pengasingan diri seperti berkhalwat atau beruzlah. Dalam konteks semasa, ‘suluk’ yang dimaksudkan oleh Mujahid adalah jalan bagi pemimpin politik bersiasah.

Jangan kerana perbezaan dalam berpolitik, rakyat dan tanahair yang menjadi mangsa. Dalam barisan kerajaan, semua pimpinan perlu bersatu. Jangan ada ‘baling batu, sembunyi tangan’ atau jadi seperti ‘gunting dalam lipatan’. Tambah-tambah lagi apabila keadaan Covid 19 semakin meliar. Manakala di barisan pembangkang, jangan asyik berbalah mencari peneraju bahtera hingga belayar tanpa arah. Penghuni tanahair sudah pening-pening lalat. Manakala pemimpin pula asyik mabuk!

Dalam keadaan sekarang kita memerlukan susuk kepimpinan negara dan juga pemimpin di pelbagai peringkat yang mempunyai lima perkara penting untuk diambil perhatian. Lambat kita memahami, semakin parah negara menanggungnya. Usah dikira kerugian satu billon ringgit Malaysia satu hari. Kita tidak lagi mampu menambah jiwa yang hilang dan bilangan yang dijangkiti virus itu bertambah.

Dalam karya roman Hamka, ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijck’, sahabat Zainuddin yang menjadi kekasih Hayati bernama Bang Muluk. Watak Bang Muluk adalah seorang yang tenang dan menjadi perantara yang rasional kepada dua kekasih yang tenggelam dengan perasaan dan ego masing-masing. Watak Bang Muluk sentiasa ada di sepanjang plot penceritaan. Bang Muluk tahu masalah Zainuddin. Bang Muluk juga tahu masalah Hayati yang penasaran.

Meski Bang Muluk gagal menyelamatkan sepasang kekasih itu, Bang Muluk adalah watak pendamai hingga akhir novel tersebut. Tidak pasti, mengapa nama Muluk yang dipilih oleh Hamka. Mungkin nama Muluk bermakna pemimpin atau seorang yang memiliki kuasa dan banyak pengetahuan. Kita perlukan seorang Bang Muluk. Tetapi kita mahukan Bang Muluk yang berjaya menyelesaikan masalah. Bukan Bang Muluk yang menyebabkan orang menangis membaca tragedi ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijck’.

Persoalan pertama yang diutarakan oleh Mujahid Yusuf adalah pepatah Melayu yang menyebut ‘adat bersendikan syariat’. Pepatah ini terkandung dalam Adat Pepatih dan juga Adat Temenggung. Adat Pepatih menyebutnya, ‘Adat bersendi hukum, hukum bersendi kitabullah, syarak mengata, adat mengikut, adat dan syarak sandar menyandar’.

Sudah banyak ibadah yang lazim dilakukan diangkat keperluan untuk dilakukan seperti biasa. Sembahyang Jumaat adalah paling mudah contohnya. Rakyat sekarang sudah sedia menerima peraturan untuk orang ramai tidak menunaikan solat tersebut seperti biasa. Rakyat akur. Peraturan itu adalah berasaskan syariat. Ada asas dan hujah agama di situ. Tidak dapat pergi menunaikan haji pada tahun ini. Itupun rakyat redha dengan keputusan kerajaan Arab Saudi. Tindakan itupun berasaskan syariat.

Namun dalam masa yang sama jangan ada pula pengecualian atau pelaksanaan peraturan yang dua versi. Perniagaan judi dibenarkan berlangsung sedangkan perniagaan yang halal, ada yang tidak dibenarkan.

Kedua, pemimpin yang kita perlukan pada hari ini adalah pemimpin yang mampu mengukur dan menilai kemaslahan ummah. Tidak kira samada pemimpin itu Muyhiddin atau Mahathir, Anwar atau siapa sahaja. PH atau PN atau MN atau tiada apa-apa akronim. Pemimpin juga termasuk Yang Di Pertuan Agong, Raja-raja Melayu dan kita semua tanpa kecuali. Ini penting terutama di dalam keadaan negara kritikal, meruncing dan pandemik sebegini. Jangan ada yang cuba meraih laba daripada penderitaan rakyat.

Plan atau proposal pemulihan mestilah dirangka dari hati nurani Bang Muluk sebenar. Ia bukan perlumbaan menghantar proposal yang tebal dan penuh angka, rajah dan carta tetapi kosong makna buat rakyat. Pemimpin juga perlu tahu ‘ukur baju badan sendiri’ jika tidak mampu menyelesaikan masalah umum hingga tanahair terjerumus ke lembah penderitaan yang berpanjangan. Di sinilah pentingnya pemimpin berjiwa besar dan bukannya membesarkan kepala demi kelangsungan kuasa politik terus kekal di tangan.

Ketiga adalah adab pemimpin berhadapan situasi getir ini. Adab pemimpin bukan menunjuk kesombongan dan keangkuhan di khalayak. Tambahan pada masa sekarang, kecanggihan teknologi maklumat merakamkan segala percakapan yang terlanjur, perbuatan yang tidak beradab dan hasrat yang tidak murni. Berhati-hatilah mengatur kata terutama pemimpin yang memiliki kuasa di tangan.

Adab pemimpin berkuasa kena berani berhadapan dengan khalayak. Usah berpidato atau memberi perutusan di depan kemera. Adab pemimpin bukan bersemuka begitu. Pakailah penutup mulut, guna sanitizer dan amalkan penjarakan sosial, insyaAllah selamat. SOP diwar-warkan kepada rakyat sudah sebati. Inilah waktunya untuk para pemimpin yang berkuasa melaksanakannya tanpa kecuali. Itu adabnya  pemimpin pada penghuni tanahair tercinta.

Perkara keempat adalah keperluan pemimpin bertindak secara hikmah atau bijaksana. Pemimpin tidak boleh wewenang bertindak atas dasar kuasa dan kedudukannya. Pemimpin perlu bijak meletakkan fiqh awlawiyat, muwazannah dan prinsip maqasid syariah. Di sinilah keperluan pemimpin melaksanakan slogan ‘rahmatan lil alamin’ sebagai suatu yang berpijak di bumi nyata.

Jika tidak mahu menggunakan slogan tersebut, sudah cukup memadai menggunakan slogan ‘kerajaan Melayu Islam’ sebagai kata keramat untuk tanahair tercinta.

Perkara kelima adalah perlembagaan dan undang-undang yang berasaskan konsensus dalam masyarakat. Saya berfikiran bahawa ini adalah saranan agar Parlimen dibuka bagi para muluk-muluk membincangkan jalan penyelesaian secara tuntas. Berdebatlah secara sihat. Semua ahli parlimen sudah menerima suntikan yang lengkap. Tidak perlu dos ketiga atau keempat.

Usah berlindung di sebalik tabir darurat dan tafsiran agama yang mengelirukan demi kelangsungan kuasa di tangan. Jangan Bang Muluk.