Malaysia Dateline

Mujahid harap masyarakat sabar tempuhi normal baharu

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berharap semua pihak perlu bersedia dengan normal baharu dalam kehidupan harian mereka susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, normal baharu mengambarkan keadaan biasa kita lalui selepas ini akan menjadi kebiasaan yang baru.

Menurutnya, Covid-19 telah mengubah cara bagaimana kita melihat ekonomi, kebergantungan antara satu sama lain, bersosial serta cara menangani krisis.

“Tahun ini atau selepas ini, dunia terpaksa memulihkan dari kesan pandemik Covid-19 yang dialami sepanjang tahun 2020 ini. Ia akan mengambil masa sehingga ke suku tahun kedua 2021.

“Selepas itu, keadaan yang kita lalui seperti biasa tidak akan berlaku malah kita terpaksa menjalani perkara kebiasaan yang baru,” katanya hari ini.

Susulan itu, Dr Mujahid menyifatkan kebiasaan yang baru itu akan mengambil masa untuk disesuaikan termasuk masyarakat, pemimpin politik, pembuat dasar termasuklah sektor perniagaan.

“Semoga kita bersama-sama hadapinya dengan penuh tabah dan kesabaran,” kata bekas
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi.