Mujahid hargai Raja Salman beri wang pampasan mangsa kren tumbang

Mujahid hargai Raja Salman beri wang pampasan mangsa kren tumbang

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini merakamkan ucapan terima kasih kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud atas wang pampasan yang diberikan kepada mangsa kren tumbang pada 11 September 2015.

Mujahid merakamkan ucapan terima kasih itu dalam ucapannya sempena Majlis Jamuan Tengah Hari Waris dan Mangsa Kemalangan Kren di Mekah Musim Haji 1436 Hijrah anjuran Lembaga Tabung Haji (TH), di Putrajaya hari ini.

“Hari ini, kita menyaksikan Raja Yang Mulia Raja Salman AbdulAziz Al Saud dan Kerajaan Arab Saudi atas kesungguhan mereka untuk membayar sejumlah wang tunai, bukan sebagai ganti rugi, tetapi atas semangat dermawan kepada mangsa dan keluarga yang terkorban dalam kejadian malang itu.

“Kami (kerajaan Malaysia) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terutamanya kepada Yang Mulia Raja Salman AbdulAziz Al Saud atas simpati dan perhatian yang diberikan kepada jemaah Malaysia, terutamanya mangsa kejadian kren tumbang.

“Pampasan yang diberikan oleh Raja Salman menunjukkan keprihatinan Baginda dan kami bersyukur atas kebaikan dan kemurahan hatinya.

“InsyaAllah, selepas menyelesaikan segala urusan pentadbiran, wang tersebut akan dimasukkan terus ke akaun ahli keluarga dan mangsa-mangsa yang cedera,” katanya dalam majlis tersebut.

Turut hadir, Timbalan Menteri (Agama), Fuziah Salleh; Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Md Yusof; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusof dan Duta Besar Di Raja Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Dalam pada itu, Mujahid turut memuji tindakan Arab Saudi dalam mengendalikan kejadian kren tumbang itu.

“Ketika insiden malang itu berlaku, kerajaan Arab Saudi telah mengambil tindakan segera dan spontan untuk memulihkan mangsa seterusnya menghidupkan semula fungsi masjid ketika musim haji berlangsung.

“Kami menghargai tindakan segera yang diambil oleh Arab Saudi untuk mengembalikan operasi haji, membersihkan tapak-tapak yang terjejas, membantu mangsa terkorban dan menyediakan rawatan perubatan terbaik kepada mangsa insiden.

“Oleh itu, saya secara peribadi mengucapkan terima kasih dan kepada kerajaan Arab Saudi atas komitmen, kepantasan dan keupayaan mereka dalam mengendalikan kejadian tragis yang turut melibatkan warganegara lain,” katanya lagi.

Pada 11 September 2015, seramai 108 mangsa terbunuh dan 238 cedera apabila kren yang digunakan untuk menaik taraf Masjidil Haram itu tumbang.