Mujahid hormati keputusan penganjur batalkan Seminar Mesej Amman

Mujahid hormati keputusan penganjur batalkan Seminar Mesej Amman

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof memaklumkan, pihaknya menghormati keputusan penganjur membatalkan Seminar The Amman Message (Mesej Amman).

Seminar yang sepatutnya berlangsung Sabtu ini, dibatalkan susulan ugutan bom yang diterima daripada seorang pengguna di laman sosial, Facebook.

“Saya telah dimaklumkan mengenai pembatalan seminar itu. Saya hanya dijemput untuk memberi ucapan.

“Tetapi, saya tetap menghormati keputusan pihak penganjur membatalkan seminar itu atas faktor keselamatan.

“Saya turut diberitahu, di Facebook ada pengguna menyebut akan mengebom tempat seminar tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam dilaporkan bahawa, seminar Mesej Amman anjuran Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) dibatalkan kerana penganjur menerima ancaman bom di Facebook.

Difahamkan, seminar itu bagi mempromosikan Mesej Amman iaitu satu deklarasi yang dimeterai pada 2004 untuk menggalakkan pemahaman dalam pemikiran Islam.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan keputusan membatalkan seminar itu dibuat sendiri oleh penganjur dan bukannya atas nasihat atau bantahan polis.

“Pembatalan itu dibuat susulan komen yang diterima oleh penganjur seminar terbabit di laman Facebook Gerakan Banteras Syiah bertarikh 6 Julai lalu daripada pemilik akaun Facebook, Amirol Md Zain, iaitu “kita bomb tempat nie”.