Malaysia Dateline

Mujahid ingatkan Najib penukaran nama TH Hotel

Najib Razak menerusi Facebook rasminya hari ini cuba menyindir bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa berhubung penukaran nama rangkaian hotel Lembaga Tabung Haji (TH).

Ahli Parlimen Pekan yang telah didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) itu mengaitkan nama Raia Hotel sebagai legasi pentadbiran Dr Mujahid.

Najib turut dilihat memerli Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH apabila menggunakan istilah ‘kekanda’ merujuk kepada satu artikel Ahli Parlimen Parit Buntar itu kepada Nurul Izzah Anwar yang membahasakan dirinya dengan gelaran tersebut pada akhir 2018 lalu.

“Hari ini saya bantu kekanda upkan legasi 22 bulan dia dan Parti PAN (AMANAH) dia pula. Jangan tuduh Najib tak adil atau tak payung parti PAN nanti!” kata Najib.

Susulan itu, Mujahid menerusi Facebook rasminya berkongsikan petikan berita dari satu portal berkenaan nama baru hotel Tabung Haji yang dipindah milik kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJ), iaitu syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

Operasi di hotel yang sudah dipindah milik daripada TH kepada UJ itu melibatkan TH Hotel Kota Kinabalu; TH Hotel Bayan Lepas; TH Hotel & Convention Centre Alor Setar; dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu.