Malaysia Dateline

Mujahid kemuka cadangan sembuhkan negara, dengan syarat perlu tubuh Suruhanjaya

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mencadangkan agar satu Suruhanjaya Bebas Diraja yang dinamakan Suruhanjaya Pemulihan Demokrasi dan Rekonsiliasi Negara (SPDRN), dapat ditubuhkan.

Beliau berkata, ianya selaras dengan cadangannya agar proses penyembuhan negara dapat dilaksanakan dengan memastikan Suruhanjaya yang ditubuhkan dapat memandu inisiatif berkenaan.

Semasa perbahasan Belanjawan 2021, Mujahid mencadangkan agar blok kerajaan dan pembangkang mengamalkan pemikiran rentas parti yang membolehkan kedua-dua pihak berunding bersama sebagai langkah untuk menyembuhkan negara.

Menurutnya, pemikiran rentas parti adalah faktor kritikal untuk mencapai kejayaan penyembuhan dengan maksud rundingan bukan hanya dilakukan secara one-off, tetapi berterusan dan dengan disiplin tertentu untuk mencapai objektif.

“Selain itu kesemua Ahli Parlimen perlu fokus kepada prinsip besar menyeluruh yang mengawal dan membentuk perjalanan politik negara. Fokus ini akan mengheret semua pihak kepada kepentingan bersama tanpa prejudis.

“Aktifkan reformasi perundangan dengan mengkaji akta dan undang-undang sedia ada supaya bersesuaian dengan kehendak kita dalam menjalani proses sembuhan yang memerlukan kita mengembalikan kepercayaan sesama kita dan sesama rakyat,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat.

Sementara itu, Mujahid berkata, antara langkah lain untuk menyembuhkan negara, salahguna kuasa perlu dikawal ketat dengan lebih berhikmah terutama penggunaan akta-akta yang menindas suara ahli politik dan rakyat.

Memperincikan kenyataannya, beliau berkata, pihak berkuasa keselamatan perlu menjadi aparatus untuk menjamin keamanan dan bukannya bertindak sebagai aparatus pemerintah yang mempunyai kepentingan politik.

Jelasnya, reformasi perundangan akan menunjukkan kesungguhan dan kejujuran ahli-ahli politik memimpin proses penyembuhan politik negara.

“Justeru, saya ingin mencadangkan supaya satu Suruhanjaya Bebas Diraja ditubuhkan untuk memandu inisiatif sembuhkan negara dan pulihkan demokrasi yang telah saya gambarkan di atas.

“Saya turut mencadangkan tempoh tiga tahun sebelum wajib bubar Parlimen, digunakan sebaiknya untuk tujuan di atas dan menganggapnya sebagai fasa penyembuhan Negara bersesuaian dengan usaha memerangi Covid-19.

“Saya hanya akan menerima bajet ini dengan syarat bajet ini memperbetulkan keutamaan untuk rakyat dan menolak duit negara dibazirkan kepada agensi propaganda destruktif JASA,” tegasnya.