Mujahid nasihat jaga hati rakan PH

Mujahid nasihat jaga hati rakan PH

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menasihatkan agar ahli parti menjaga hati rakan komponen Pakatan Harapan (PH) dalam menyuarakan pandangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu berkata, kewujudan AMANAH tidak akan menjadi kenyataan tanpa adanya sokongan rakan-rakan PH.

“Kehadiran AMANAH tidak wujud hari ini tanpa adanya rakan-rakan. Pandai-pandailah kita bercakap agar tidak menjejaskan hati rakan kita,” ujarnya.

Sesi ucapan penggulungan Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam hari ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata demikian dalam ucapan penggulungan Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam hari ini.

Beliau juga menyifatkan kritikan daripada perwakilan sebagai memajukan AMANAH bukannya hanya kata-kata pujian semata-mata.

“Kami semua mengakui kelemahan, saya teratas mahu dihalau dari Kabinet.

“Kita perlu beri keadilan. Semua kementerian kena ada (penerangan), bukan sepenuhnya terletak pada kementerian penerangan,” ujarnya.

Terdahulu, terdapat beberapa perwakilan mengkritik Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diketuai Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.

Melanjutkan ucapannya, Dr Mujahid berkata, saluran radio dan televisyen termasuk TV Hijrah juga hari ini menggunakan slogan Rahmatan Lil Alamin.

“Radio IKIM juga sama tetapi tidaklah sepanjang masa mesti sebut Rahmatan Lil Alamin.

“Khutbah Jumaat di Wilayah Persekutuan pula mesti bercakap tentang dasar Rahmatan Lil Alamin,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar ahli AMANAH tidak menyalahkan mana-mana kementerian kononnya tidak melakukan kerja.