Malaysia Dateline

Mujahid persoal Menteri Agama tidak sebut kejayaan pemulihan Tabung Haji

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri didakwa seolah-olah mengelak dari menjawab soalan-soalan berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) yang diutarakan bekas Menterinya semasa Sidang Dewan Rakyat semalam.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, dalam ucapan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong, Zulkifli seperti tertekan dengan emosi ‘politik pendesak’ apabila beliau dikatakan mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung isu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Dakwa Mujahid, Zulkifli menyatakan kerajaan hanya akan menimbangkan penubuhan jawatankuasa petugas khas untuk mengkaji urus niaga TH, namun sebaliknya pada semalam, beliau menukar pendirian untuk pertimbang menubuhkan RCI.

“Menteri juga seolah-olah mengelak soalan-soalan teknikal penting seperti kenapa Laporan Audit TH 2018 tidak dibentang walhal ia telah siap.

“Begitu juga Laporan Kewangan 2019 apakah kerana Jabatan Audit belum selesai ataukah ia tidak dikemukakan oleh TH?

“Menteri jaga Tabung Haji sekarang, gagal bersikap jujur di Parlimen semalam. Saya terbayang wajah Pengerusi TH hari ini, wajah mantan CEO Datuk Seri Zukree serta pasukannya dan wajah CEO TH, Datuk Nik Hasyiudin

“Menteri kini tidak menjaga kepentingan pengurusan TH tetapi tunduk kepada desakan politik murahan lalu mengabaikan tanggungjawab membela institusi kebanggaan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini beberapa pemimpin Umno dan Pas mengecam Mujahid dan menuduh Naib Presiden AMANAH itu melakukan penjualan aset Tabung Haji dan mendesak agar sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat apa yang berlaku.

Namun pada 5 Ogos lalu, Zulkifli berkata kerajaan hanya akan menimbangkan penubuhan jawatankuasa petugas khas untuk mengkaji urus niaga TH jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

Kata senator itu, jawatankuasa berkenaan akan dianggotai pakar untuk meneliti urus niaga terbabit agar menepati kepentingan TH.

Bagaimanapun, pada semalam, kerajaan memilih untuk mempertimbangkan keperluan penubuhan RCI dan akan dibincangkan dalam mesyuarat jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Sementara itu, Mujahid mempersoalkan mengapa Senator itu sama sekali tidak menyentuh tentang keberhasilan yang dicapai oleh TH bagi membuktikan kejayaan pemulihan institusi tersebut.

Sekurang-kurangnya kata Mujahid, Zulkifli perlu bersikap jujur dengan menyatakan fakta semasa ucapan perbahasannya.

“Menteri sebaliknya menekankan keperluan Jawatankuasa Khas untuk meneliti transaksi TH. Apakah ini mesej tidak percaya kepada usaha pemulihan yang terbukti kejayaannya?

“Lebih penting ialah apakah ini mahu menafikan penat jerih Pengerusi TH hari ini dan CEO serta pasukan pengurusannya yang merupakan teras kejayaan pelan pemulihan?” bidas Mujahid lagi.