Mujahid sanggah laporan ‘kes Sajat hanya isu kecil’

Oleh MALAYSIADATELINE

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyanggah laporan sebuah portal berita hari ini, yang melaporkan komen Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf berkaitan dengan isu usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruzzaman.

Kenyataan itu menyebut laporan yang disiarkan oleh portal berita  itu bertajuk ‘kes Sajat hanya isu kecil, kata Mujahid’ diambil dari luar konteks pernyataan itu dibuat oleh Mujahid.

Menurut kenyataan itu lagi,  Mujahid sekali lagi diajukan soalan sama selepas sesi sidang media bersama Setiausaha Agung Komanwel, Patricia Scotland di Insitut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) hari ini.

“Memandangkan pemberita bertanya tentang isu Muhammad Sajjad selepas sesi forum bersama Setiausaha Agung Komanwel, YB Menteri beranggapan agenda yang ingin dibawa di dalam forum berkenaan lebih besar berbanding isu yang diajukan ketika itu.

“Jawapan “isu kecil” oleh YB Menteri tidak menggambarkan bahawa kerajaan memandang remeh tindakan yang dilakukan ahli perniagaan berkenaan di kota suci Makkah.

“YB Menteri dan kementerian ini sentiasa memandang serius terhadap sebarang isu yang melibatkan umat Islam di negara ini. Bagi isu melibatkan Muhammad Sajjad, sebarang tindakan yang hendak diambil perlu memenuhi tiga aspek iaitu ia perlu mengurangkan kerisauan orang ramai, kandungan yang dimuatnaik di media sosial perlu diteliti dan perlu memastikan dia menghormati landasan dan syariat Islam di negara ini.

“Sebarang tindakan yang akan diambil perlu memenuhi aspek ini supaya pengajaran dapat diberikan sewajarnya,” ujar kenyataan itu malam ini.

“Pejabat ini ingin menegaskan, tajuk dan laporan berita berkenaan tidak menggambarkan maksud yang ingin disampaikan oleh YB Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

“Sebagai makluman, pada 9 Februari 2020 semasa MajlisRumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Jakim dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) di Quill City Mall, Kuala Lumpur, YB Menteri telah pun mengulas tentang isu Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman. (rujuk lampiran laporan akhbar),” ujar kenyataan itu.