Malaysia Dateline

Mujahid seru rakyat daftar terima vaksin Covid-19

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menerima suntikan vaksin Covid-19 kelmarin.

“Alhamdulillah. Saya berasa sihat,” kata Naib Presiden AMANAH tersebut selepas menerima suntikan itu di Pusat Kesihatan Daerah Kerian.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat tampil mendaftar menerusi aplikasi dan kaedah dalam talian yang disediakan.

“Anda semua jangan lupa mendaftar di MySejahtera untuk menerima (suntikan) vaksin,” kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu lagi.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam Twitternya, sebanyak 5.4 juta individu sudah mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui aplikasi MySejahtera setakat semalam.

Peratusan daftar tertinggi di Putrajaya sebanyak 68.2 peratus diikuti Kuala Lumpur (33 peratus) dan Selangor 32.5 peratus.

Tiga negeri terendah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin ialah Sabah dengan hanya 7.9 peratus, Kelantan (11.5 peratus) dan Terengganu 15.8 peratus.