Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 dengan hati terbuka selepas gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya yang lalu.
Beliau dalam hantaran di Facebook pagi ini berkata, keputusan ini adalah hasrat daripada kehendak pengundi di P.057 yang ditunjukkan dalam peti-peti undi mereka.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi Parit Buntar yang telah mengundinya.
Pada PRU14 lalu, Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH mempertahankan kerusi Parlimen Parit Buntar dengan majoriti 3,098 undi.
Kali ini beliau tewas pada calon Perikatan Nasional (PN) Ustaz Misbah yang meraih 23,223 undi.
Mujahid pula memperoleh 17,828 undi, diikuti calon Barisan Nasional, Cikgu Imran (11,593); dan Pejuang, Hj Rohijas (259).
Dalam hantaran di Facebook, Mujahid turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan HARAPAN serta para petugas parti dan sukarelawan yang bekerja keras untuk memenangkannya di Parlimen Parit Buntar.
“Sebagaimana saya juga amat menghargai jasa para penyokong dan pengundi HARAPAN yang mempercayai aspirasi dan cita-cita perjuangan kami selama ini.
“Walaupun kami telah berusaha keras untuk kekalkan kemenangan HARAPAN namun kita semua harus menerima ianya satu keputusan yang dibuat secara demokrasi berpilihanraya.
“Akhirnya marilah kita meneruskan agenda membentuk negara ini ke arah cita-cita bersama untuk Malaysia yang rahmah dan makmur. Kepada Allah jua kita berserah segala ketentuan dan ketetapan. Hasbunallah wa Ni’mal Wakil, Ni’mal Maula wa Ni’mal Nasir,” katanya.