Mujahid terima kunjungan Peguam Syarie bincang penambahbaikan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah

Mujahid terima kunjungan Peguam Syarie bincang penambahbaikan dan bidang kuasa  Mahkamah Syariah

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa menerima kunjungan hormat Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) di pejabatnya semalam.

Kunjungan tersebut yang diketuai oleh Presiden PGSM Haji Musa Awang dan disertai barisan exco.

Dalam satu kenyataan dipetik  pada pertemuan diadakan itu, antara lain perbincangan berkisar mengenai cadangan penambahbaikan mahkamah syariah di Malaysia termasuk aspek prasarana, sumber manusia dan bidang kuasa.

Perbincangan turut menyentuh mengenai perkembangan perundangan terkini, khususnya mengenai langkah kementerian untuk memperkenalkan Akta Majlis Peguam Syarie Malaysia tidak lama lagi bagi mengangkat martabat peguam syarie di dalam sistem kehakiman dan perundangan negara.

Mujahid yang turut disertai oleh Penasihat Undang-Undang Jakim, Ramzi Othman dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Hisham Fauzi memaklumkan kepada pihak PGSM bahawa kerajaan Malaysia sekarang ini sangat komited untuk menambahbaik dan memperkasa mahkamah syariah dan sebarang cadangan ke arah itu amatlah dialu-alukan.

Dalam pertemuan itu juga, PGSM turut mengambil kesempatan untuk menyerahkan dua proposal bagi pertimbangan Kerajaan, termasuklah proposal untuk menubuhkan sebuah pusat bantuan guaman syarie yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan bagi membantu rakyat yang mempunyai masalah kewangan dalam menyelesaikan tuntutan mereka di mahkamah syariah.

Mujahid dalam kenyataannya dipetik, mengatakan pihaknya akan mengkaji proposal yang diterima daripada PGSM dan melihat ianya sebagai suatu cadangan yang konstruktif dan positif ke arah meringankan beban kehidupan rakyat Malaysia.