Mujahid terima saranan dialog Rahmatan Lil Alamin dengan pembangkang

Mujahid terima saranan dialog Rahmatan Lil Alamin dengan pembangkang

Dialog dengan semua pihak berhubung Rahmatan Lil Alamin akan dibuka pada tahun ini memandangkan gagasan tersebut telah menjadi polisi kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, dialog tersebut turut melibatkan parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan seperti kumpulan pesara penjawat awam kanan, G25.

“Untuk tahun ini, kita akan membuka ruang untuk terlibat dengan dialog dengan semua pihak tanpa meletakkan dasar ini hanya untuk kepentingan pihak tertentu kerana ini dasar kerajaan.

“Bila sudah jadi dasar kerajaan maka ia tidak terbatas kerana pemegang taruhnya adalah seluruh rakyat termasuk dalamnya pembangkang,” ujarnya mengulas saranan penonton Bicara YB di Jom Channel baru-baru ini tentang dialog dengan parti pembangkang.

Dr Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berpendapat ruang dialog itu penting untuk membuka minda dan memberi pemahaman kepada rakyat Malaysia.

“Saya alu-alukan cadangan ini. InsyaAllah, saya akan memastikan dialog bukan sahaja dengan pembangkang tetapi juga NGO seperti hari ini, G25, kononnya Jakim telah buat dasar tanpa ikut undang-undang.

“Malah, isu sensitif seperti isu jawi. Kita bersedia untuk menjadi orang yang meredakan keadaan bukannya pihak yang menambah minyak ke dalam api.

“Soalnya kalau mereka hendak membangkang itu hak mereka dari segi politik, silakan.

“Tetapi jangan membangkang menggunakan sentimen kaum dan agama,” tegasnya lagi dalam slot bertajuk, “Cabaran 2020: Mendepani Isu Agama dan Perkauman” itu.

Untuk rekod, dasar Rahmatan Lil Alamin diluluskan Jemaah Menteri pada 25 Oktober tahun lalu.