Mujahid umum calon Pulau Pinang, antara doktor pakar kanak-kanak

Mujahid umum calon Pulau Pinang, antara doktor pakar kanak-kanak

Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengumumkan AMANAH akan bertanding di Parlimen Kepala Batas serta kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungei Dua, Permatang Pasir serta Dun Bayan Lepas.

Beliau mengumumkan kesemua calon-calon tersebut semasa program ceramah Pakatan Harapan (PH) yang telah diadakan di Taman Desa Murni, Sungei Dua semalam.

Menurut Mujahid lagi, calon yang diketengahkan pada kali ini adalah mereka yang profesional dan komited untuk menumbangkan Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei nanti.

Bagi Parlimen Kepala Batas, Dr Zaidi Zakaria yang juga merupakan seorang Dr Pakar Perunding Kanak-Kanak telah dipilih mewakili AMANAH dalam PRU14 kali ini.

Manakala bagi Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil, beliau akan bertanding bagi kerusi Dun Permatang Pasir, Permatang Pauh.

Sementara itu katanya, bagi kerusi Dun Sungei Dua, ia akan diwakili oleh Yusri Ishak yang juga merupakan seorang pengamal undang-undang dan ahli perniagaan.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Pulau Pinang, Azrul Mahathir Aziz pula dipilih untuk bertanding bagi kerusi Bayan Lepas.

“Calon-calon yang ditonjolkan oleh AMANAH pada kali ini adalah mereka yang mempunyai satu misi untuk memastikan PH tetap menjadi kerajaan bukan saja di Pulau Pinang, tetapi juga di seluruh negara.

“Kesemua calon-calon tersebut telah pun menjalankan gerak kerja melalui pelbagai pendekatan turun padang sebelum pembubaran Parlimen lagi.

“Dengan komitmen dan kerjasama komponen dalam PH, kita yakin, kemenangan akan mampu diraih dalam PRU14 kali ini, ” jelasnya lagi.

Turut hadir semasa majlis pengumuman tersebut ialah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Marzuki Yahaya serta pimpinan DAP yang juga merupakan exco kerajaan negeri, Phee Boon Poh.

7.5
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 6.7