Malaysia Dateline

Mujahid umum Dr Roslan Pengerusi AMANAH P.Pinang yang baharu

Mantan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini mengumumkan Ketua Kawasan Amanah Nibong Tebal Dr Roslan Ahmad telah dipilih sebagai pengerusi parti yang baharu untuk negeri ini.

Mujahid berkata Konvensyen Amanah Pulau Pinang yang berlangsung dan dirasmikan pagi tadi berjalan lancar dan Dr Roslan telah dipilih untuk memimpin Amanah negeri.

“Alhamdulillah, Konvensyen Pulau Pinang yang mengguna pakai sistem e-undi telah berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan para perwakilan telah memilih 17 calon sebagai Ahli Jawatankuasa negeri,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis Sembang Santai Suatu Ketika Dahulu “Cherita Acheen Street” di sini hari ini.

Beliau berharap barisan pimpinan yang baharu itu akan meneruskan hubungan yang baik dengan kerajaan negeri pada masa hadapan.

“Amanah merupakan parti komponen dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan mereka harus membuktikan keupayaan mereka daripada tiada kerusi sebelum ini, kami berjaya mendapat dua kerusi Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata beliau akan memberikan tumpuan kepada tugas parti di peringkat pusat selepas menolak daripada dicalonkan untuk mempertahankan jawatannya.

Mujahid berkata dari awal tahun ini, beliau telah mengumumkan tidak akan bertanding dan beliau konsisten dengan keputusan itu.

“Saya tidak akan mempertahankan jawatan itu supaya saya ada masa untuk menumpu dalam parti di peringkat pusat nanti.

Saya akan terus menyumbang kepada parti di peringkat pusat dan diharapkan Amanah dapat menjadi parti yang membawa era Malaysia baharu ini,” katanya.

Terdahulu, Mujahid turut menghadiri Konvensyen Amanah Pulau Pinang yang dirasmikan oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu.