Mujahid umum tidak pertahan jawatan Pengerusi AMANAH Pulau Pinang

Mujahid umum tidak pertahan jawatan Pengerusi AMANAH Pulau Pinang

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa hari ini mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan beliau sebagai Pengerusi AMANAH Pulau Pinang dalam pemilihan parti yang akan diadakan Ogos nanti.

Beliau berkata demikian dalam majlis jamuan Rahmah Aidilfitri Peringkat Negeri Pulau Pinang, anjuran AMANAH Pulau Pinang di Kepala Batas hari ini.

Jelas Dr. Mujahid, setelah berbincang dengan rakan-rakan pimpinan lain dan ahli keluarga, saya ingin memaklumkan untuk tidak mempertahankan jawatan saya sebagai Pengerusi AMANAH Pulau Pinang bagi penggal akan datang.

“Saya yakin AMANAH Pulau Pinang akan terus berkembang pesat.

“Insya Allah, saya memberi komitmen untuk terus membantu dan memberi sokongan yang padu kepada AMANAH Pulau Pinang yang saya anggap seperti anak saya sendiri ini,” kata beliau dalam kenyataannya.

Ujar beliau, setelah kemenangan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan, beliau telah diberi satu peranan besar dalam membina Malaysia Baharu bersama rakan-rakan kabinet yang lain.

Tanggungjawab berkenaan katanya, memerlukan komitmen masa dan usaha yang tinggi daripada beliau.

Sehubungan itu tambahnya, sudah tiba masanya, pada firasat beliau untuk memberi peluang dan ruang kepada rakan-rakan lain di Pulau Pinang untuk menerajui AMANAH Pulau Pinang.