Malaysia Dateline

Muka baru Umno ada harapan jadi calon atau bakal dicantas?

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamid kata, muka-muka baru yang terbaik akan dipilih menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Dia yakin calon-calon lama akan sokong keputusan itu dan bagi peluang kepada anak-anak muda.

Media massa memetik beliau sebagai berkata yang beliau yakin kali ini parti itu dapat memilih muka-muka baru yang terbaik. Katanya, ini tidak bererti calon lama tidak baik.

Daripada kenyataan itu saja, nampak jelas kesukaran Umno membuat perubahan, khususnya di Melaka di mana kerajaan pimpinan Umno dijatuhkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno sendiri dengan bantuan seorang Adun Bersatu dan seorang Adun Bebas.

Adalah tidak mudah mendamaikan panglima-panglima parang panjang yang saling bertetakan antara satu sama lain dalam masa yang singkat walaupun ketua pemberontakan, Idris Haron, yang juga bekas Ketua Menteri, telah disingkirkan.

Lagi pun Ahmad Zahid sendiri bukanlah watak paling berwibawa dalam Umno buat masa ini dan tidak dianggap berpengaruh di Melaka di mana “kingpin”nya adalah Ab Rauf Yusoh yang kesetiaannya adalah kepada bekas Presiden, Mohd Najib Abdul Razak. Ini terbukti dengan pelantikan Najib sebagai ketua de facto jentera PRN Melaka.

Peranan Najib mungkin membantu menaikkan imej Rauf tetapi ia juga memberi modal besar kepada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) membelasah Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana keterlibatan pemimpin-pemimpin kanannya, dengan didahului oleh Najib dan Ahmad Zahid, dalam kes-kes rasuah.

Dalam hubungan ini, PN boleh menghadapi pengundi Melaka dengan keyakinan bahawa ia tidak bertolak-ansur terhadap rasuah dan tidak campur tangan dalam perbicaraan kes-kes berprofil tinggi melibatkan mana-mana ahli politik ketika memerintah.

Di pihak PH pula, ia perlu meyakinkan pengundi bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, tidak mempengaruhi pendiriannya terhadap rasuah dan perbicaraan kes-kes rasuah melibatkan pemimpin-pemimpin Umno dan pemimpinnya sendiri.

Lagi pun nampak seolah-olah Ismail Sabri tidak ada peranan besar dalam PRN ini. Adakah dia tahu sesuatu mengenai apa yang akan terjadi atau dia umpama melukut di tepi gantang kepada Kluster Mahkamah yang kini kembali beraksi dalam kepemimpinan parti?

Kesimpulannya, dalam keadaan di mana kerajaan negeri jatuh kerana orang dewasa berebut kedudukan dan habuan, apalah harapan orang muda dicalonkan?

Silap-silap baru mula bertunas sudah dicantas.