Mukhriz angkat sumpah MB Kedah

Mukhriz diberikan penerangan terakhir sebelum mengangkat sumpah sebagai MB buat kedua kali.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, semalam.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Jitra telah melafazkan sumpah menyandang jawatan sebagai Menteri Besar Kedah ke 13 setelah Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 18 kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) 9 Mei yang lalu.

Mukhriz sebelum ini adalah Menteri Besar yang ke 11, namun begitu terpaksa melepaskan jawatan yang pernah disandangnya pada awal 2016 setelah hilang sokongan majoriti dalam Dun Kedah ketika itu.

Dengan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar kali ini, sekali lagi sejarah dilakar apabila ia menjadi Menteri Besar untuk kali kedua bagi negeri Kedah.

Turut berangkat dalam majlis mengangkat sumpah tersebut ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff serta Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin.

 

LAKSANA MANIFESTO PH

Sementara itu, dalam ucapannya, Mukhriz berkata, yang menjadi keutamaan selepas mengangkat sumpah ialah menunaikan segala janji-janji yang telah dibuat dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Ini merupakan kalimat yang dizahirkan oleh Menteri Besar Kedah yang baru, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas majlis pelantikan dan mengangkat sumpah beliau semalam.

Malah katanya, dengan janji-janji tersebutlah rakyat telah memberi sokongan sehingga menolak Umno dan BN serta menobatkan Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah kerajaan baru kali ini.

“Dalam tempoh yang terdekat, perbincangan akan diadakan dengan rakan dalam PH bagi pelantikan barisan exco negeri Kedah.

“Tanggungjawab serta amanah yang diberikan oleh rakyat pada kali ini akan dimulakan dengan secepat mungkin.

“Ia termasuklah menerima teguran daripada pembangkang demi kebaikan bersama untuk memajukan negeri ini,” jelasnya.

Tegas Mukhriz lagi, adalah diharapkan pembangkang dapat bersama-sama ‘check and balance’ dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“PRU ke 14 kali ini merupakan suatu pilihan raya yang amat sengit dan paling bersejarah sekali dalam sejarah demokrasi negara.

“Kita turut ingin mengiktiraf Pas dan BN sebagai parti pembangkang dalam Dun Kedah kali ini.

“Manakala barisan pimpinan yang ada dalam PH Kedah turut kukuh serta mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Pusat, ” ujarnya lagi.

Dari keseluruhan 36 kerusi Dun Kedah, dalam PRU ke 14 baru-baru ini, PH telah berjaya memenangi sebanyak 18 kerusi, Pas 15 dan BN 3 kerusi.