Malaysia Dateline

Mukhriz digesa tumpu agenda Pejuang, bimbang ada lagi pemimpin lari

Sebagai presiden parti Pejuang, seharusnya Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir memacu partinya berpencak menentang Umno dengan mengangkat nilai-nilai atau gagasan yang dibawa.

MPP Keadilan Amidi Abdul Manan berkata, kenyataan Mukhriz langsung tidak mencerminkan nilai kepimpinan yang berkualiti dan berinspirasi.

“Mukhriz perlu mengarah tumpuan partinya untuk merampas kerusi-kerusi yang kini menjadi milik Umno. Barulah dilihat seorang pemimpin yang terserlah kejantanannya. Bukan hanya berselindung dan menempel disebalik pengaruh parti-parti lain.

“Mukhriz seharusnya melebarkan pengaruh Pejuang sebagai sebuah entiti politik baru yang mahu bertapak di persada politik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Mukhriz Mahathir, yang menganggap masa buat Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri bagi PH telah berlalu

Bagaimanapun katanya, Parti Pejuang bukan sahaja dilihat antara ada dan tiada, malah dengan kualiti kepimpinan yang sedang diperlihatkanya kini, dibimbangi mereka yang berprisip dan beridelism tinggi akan lari meninggalkan Pejuang sepertimana Dr. Maszlee Malik yang sebelum ini dilihat mesra Pejuang, kini tegas memberikan komitmen bersama Keadilan.

Katanya, Mukhriz sepatutnya belajar cara berpolitik daripada Dato Seri Anwar Ibrahim yang cukup tegas dengan prinsip, menolak amalan kroni, berpolitik secara berani mendepani segala risiko demi rakyat dan negara.

“Mengangkat tinggi nilai manusiawi dan memaafkan segala tindakan yang pernah dilakukan oleh musuh politiknya.

“Cergas dan cakna dalam membawa isu-isu rakyat dan agenda kepentingan negara. Jiwa besar sebegini perlu ada sebagai pemimpin politik bagi melayakkan diri memikul amanah kekuasaan.

“Pesan saya buat Mukhriz, belajarlah berpolitik mengikut zaman yang anda berpijak.

“Berpolitik secara memijak pesaing atau musuh politik ( malah rakan politik juga), sudah patut ditinggal jauh dibelakang sebagai sejarah dan teladan,” katanya lagi.

Justeru tegas beliau, politik zaman kini adalah politik yang membentuk gagasan pemikiran dan idea-idea urus tadbir yang lebih baik dan bermanfaat.

“Jika anda masih juga terlekat dengan gaya politik yang lama itu, bermakna kepimpinan yang menghampiri tarikh luput itu adalah diri anda sendiri, bukan orang lain seperti yang anda fikirkan,” katanya.