Perikatan Nasional membuat keputusan menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai sebahagian parti komponennya, sekaligus menghampakan hasrat Pejuang untuk bersama-sama mendepani pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata keputusan menolak kemasukan Pejuang diputuskan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi PN dipengerusikan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang berlangsung semalam.
Hasrat Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak dapat disembunyi lagi selepas dipercayai cuba menyertai PN kerana mahu meminta sejumlah kerusi untuk parti itu dalam PRN.
Sumber PN Kedah yang rapat dengan Mukhriz memberitahu hal itu pada Februari lalu. Dedahnya itu merupakan intipati pertemuan antara Mukhriz dengan lima kepimpinan tertinggi Pas.
Mukhriz juga didakwa pernah menyatakan hasrat kepada Pengerusi PH Kedah, Datuk Seri Mahfuz Omar untuk menyertai PH bagi berhadapan PRN akan datang.
Mahfuz turut mengesahkan ada bertemu bekas menteri besar Kedah itu di ibu negara kira-kira dua bulan lalu, untuk membincangkan ruang kerjasama.
Tindakan Mukhriz yang dianggap ‘bermain dua kolam’ itu dipercayai ingin menyelamatkan hayat politiknya, menurut laporan media tempatan pada Februari lalu.
Susulan keputusan PN untuk tidak menerima kemasukan parti yang sebelum ini dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamad, Pejuang melahirkan rasa dukacita kerana hasratnya bagi mengelakkan pecah undi orang Melayu dalam PRN tidak mendapat sambutan.
Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah berkata dengan itu, Pejuang akan terus menggerakkan jentera di kawasan tertentu untuk bersiap sedia menghadapi PRN akan datang.
“Pejuang dimaklumkan semalam Majlis Tertinggi PN telah bermesyuarat untuk antara lainnya membincangkan permohonan Pejuang menyertai gabungan PN.
“Pejuang telah dimaklumkan bahawa permohonan ini telah ditolak. Adalah amat mendukacitakan bahawa iltizam dan matlamat untuk tidak memecahkan undi orang Melayu tidak disambut oleh pimpinan Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyatan semalam.
Amiruddin berkata Pejuang akan sentiasa kekal dalam arena politik negara untuk mempertahan ‘Rule of Law’ dan membawa amanat perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.
Baca juga: Mahu keluar duit KWSP untuk barang sekolah, warganet persoal mana hilang duit bantuan RM150