Malaysia Dateline

Mukhriz kekal menjadi Menteri Besar Kedah

Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) bagi mengekalkan kerajaan negeri sekali gus kekal sebagai Menteri Besar.

Beliau berkata, keputusan tersebut dicapai selepas parti bersetuju untuk membentuk gabungan PH beserta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) peringkat negeri.

“Kami harap rakyat bertenang dan bersikap rasional kerana pentadbiran kerajaan di Kedah tidak terjejas oleh perkembangan di peringkat Pusat.

“Adalah dimaklumkan Adun PH dan Bersatu telah menyatakan sokongan kepada saya untuk kekal menjadi Menteri Besar Kedah dan kami sepakat bersetuju supaya kerajaan negeri dikekalkan.

“Kerajaan negeri ini adalah gandingan PH dan Bersatu dan kesepakatan ini bagi menjamin urusan negeri berjalan seperti biasa,” katanya seperti dipetik dalam siaran langsung sidang media beliau hari ini.

Menurut Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun, keputusan tersebut juga sudah dipersembah kepada Sultan Kedah, Sultan Sallahuddin Badlishah yang memberi perkenan kerajaan negeri diteruskan seperti biasa di bawah kepimpinan beliau.

Pada masa ini, PH di Kedah mempunyai 13 dari keseluruhan 36 kerusi DUN, Pas (15), Bersatu (6) dan BN (2).