Malaysia Dateline

Mukhriz lakukan lawatan kerja tiga hari ke Thailand

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir akan melakukan lawatan kerja tiga hari ke Bangkok bermula esok untuk memperkukuhkan hubungan serta meninjau peluang pelaburan dan perdagangan dua hala.

Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan kerja itu berlangsung dua minggu selepas Menteri Besar melahirkan kesungguhan kerajaan negeri meneroka dan memperkasa potensi ekonomi negeri semasa pembentangan Bajet Kedah 2019.

“…khususnya dengan menarik modal asing ke kawasan perindustrian baharu Kota Perdana di Special Border Economic Zone dan Kedah Science and Technology Park di Bukit Kayu Hitam.

“Lawatan ini menyusuli lawatan rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Bangkok sebulan yang lalu, yang telah membangkitkan minat industri, pelabur dan kerajaan Thailand untuk meningkatkan usaha sama dengan Malaysia, terutamanya bersama negeri-negeri sempadan khususnya Kedah,” kata kenyataan itu.

Ia menyatakan kerajaan negeri berminat menerokai pelbagai bidang dengan Thailand terutamanya dalam perdagangan, jana tenaga, pelaburan industri berteknologi tinggi dan pertanian.

Kenyataan itu berkata delegasi kerajaan negeri dianggotai Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Tan Kok Yew serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Negeri, Zamri Yusof.

“Semasa di Bangkok, Menteri Besar dan rombongan dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga Thailand, Dr Siri Jiraponghan.

Turut dijadualkan adalah pertemuan dengan Prachai Leoparat, Ketua Pegawai Eksekutif PTI Polene Power; Kun Aswin, Ketua Pegawai Eksekutif BJC/Big C, rangkaian peruncit terbesar di Thailand.

“Selain itu, delegasi Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan dengan Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand sebelum ke Rayong untuk berbincang dengan pengurusan kanan PTT Global Chemical, syarikat petroleum, tenaga dan petro-kimia,” kata kenyataan itu.

— BERNAMA