Mukhriz sedia lima agenda tadbir kerajaan negeri Kedah

Mukhriz sedia lima agenda tadbir kerajaan negeri Kedah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bukan saja ingin memastikan negeri Kedah dapat dibangunkan dengan kerjasama semua pihak termasuk pembangkang, malah beliau ingin memastikan lima agenda penting menjadi realiti.

Jelas beliau lagi, agenda pertama adalah untuk mempertimbang serta menyediakan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang agar rakyat diwakili mereka, mendapat pembelaan serta tidak dipinggirkan.

Manakala agenda kedua ialah kemungkinan besar akan menerajui Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sekiranya ia mendapat mandat daripada para penyokong dan tidak bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

Selain dari itu jelasnya agenda yang ketiga ialah bagi perbelanjaan kerajaan negeri maupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melebihi seratus ribu akan ditangguhkan.

“Kontrak yang telah ditangani akan disemak semula termasuk pembinaan lima loji air.

“Bajet negeri yang telah diumumkan oleh kerajaan negeri terdahulu juga akan diberi perhatian serius serta diperhalusi kembali.

“Disamping melantik sepuluh orang exco, kerusi yang lebih akan diberikan kepada PKR kerana mereka memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum ke 14 baru-baru ini, ” tegasnya.

Katanya lagi, isu peruntukan tahunan kepada Adun pembangkang telah pun dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Kedah.

“Semasa menjadi pembangkang dahulu, ini merupakan aduan kepada kerajaan BN.

“Kini selepas menjadi kerajaan negeri, maka isu ini merupakan antara agenda yang akan diberi pertimbangan serius.

“Adalah tidak wajar rakyat di kawasan pembangkang tidak diberikan perhatian hanya kerana mereka mengundi pembangkang dalam pilihan raya umum yang lalu, ” katanya lagi.

Beliau juga berkata yang menjadi keutamaan kerajaan PH ialah tidak mengabaikan rakyat hanya kerana perbezaaan politik.

“Perkara utama yang akan diberi perhatian ialah bagi menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto.

“Kita optimis ia dapat direalisasikan dengan sokongan daripada kerajaan Pusat yang ada kini.

“Sebaik sahaja selesai pelantikan barisan exco maka proses ini akan dimulakan dengan segera, ” tambahnya lagi.

Malah tegasnya lagi, selain dari menunaikan apa yang dijanjikan dalam pilihan raya umum 9 Mei yang lalu, polisi kerajaan negeri yang bersesuaian akan dikaji semula.

Ia juga berkata, pendekatan politik yang ada kini lebih berbeza kerana setiap perkara akan dibincang bersama dalam Majlis Pengerusi PH Negeri Kedah.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS