Malaysia Dateline

Mukhriz umum lepas jawatan hari ini

Datuk Seri Muhkriz Mahathir mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Dalam sidang media di Wisma Darul Aman pagi ini, beliau memberitahu tindakan tersebut dilakukan selepas hilang kepercayaan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

ADUN Jitra tersebut berkata, pelepasan jawatan itu telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada Sultan Kedah.

Ini kali kedua Timbalan Presiden Bersatu itu mengumumkan melepaskan jawatan tersebut selepas berbuat demikian pada 2016 ekoran krisis kepemimpinan Umno negeri.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mukhriz telah menerajui PH dengan memenangi 18 dari keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mengalahkan parti pemerintah ketika itu, BN yang hanya memenangi tiga kerusi, manakala Pas memenangi 15 kerusi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor pula dijadual mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah Ke-14, pada jam 2 petang ini.