Malaysia Dateline

Muktamad pengampunan kepada Anwar sah

Satu perkara yang tidak disedari dan perlu diberikan perhatian ialah bagaimana mahkamah di negara ini membuang masa dalam melayan kes-kes perbicaraan yang tidak ada faedah dan untung kepada negara jauh sekali manfaat kepada rakyat.

Penelitian secara menghalusi sebelum sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah seperti tidak dilakukan dengan teliti, seperti ada unsur politik atau mahkamah itu sendiri seperti bertindak menjadi makmal, atau brersubahat melengahkan sesuatu perkara apabila menerima kes-kes yang lemah tetapi dibicarakan sebagai uji kaji?

Contohnya, kes saman oleh seorang peguam terhadap pengampunan yang diperolehi oleh Anwar Ibrahim. Sudah jelas dan nyata proses pengampunan diberikan kepada Anwar itu mengikut Perlembagaan, peraturan dan kaedah yang sewajarnya.

Namun, kerana motif tertentu maka kes saman untuk menafikan pengampunan itu ke atas Anwar dilakukan. Tujuan jelas untuk mengganggu dan damage Anwar. Dan mahkamah menerimanya berdasarkan prinsip keadilan dan kesaksamaan undang-undang.

Pada satu peringkat saman itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi kemudian penayaman tidak berpuas hati membawanya ke mahkamah rayuan. Kemudian ia berakhir dengan Mahkamah Rayuan mengenepikan rayuan itu, menolak saman mempersoalkan pengampunan itu.

Dalam masa sama, Mahkamah Rayuan membenarkan Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan untuk mengenepikan saman yang mempersoalkan kesahihannya pengampunan terhadapnya yang sebelum ini diterima mahkamah.

Senario berlaku dalam kes ini menjelaskan mahkamah seperti menjadi sekolah dan mahkamah untuk menentu atau mengesahkan proses perundangan dan keadilan di negara ini walaupun natijah kepada apa dilakukan itu sangat jelas.

Kalau pihak pendakwa, pendaftar mahkamah meneliti secara mendalam sesuatu kes tanpa dipengaruhi apa-apa elemen, motif sudah pasti kes seperti di atas itu tidak pun akan sampai ke mahkamah dan mahkamah tidak membuang masa dengan perkara atau kes-kes yang remeh, bersifat mengacau begitu.

Apapun pengampunan yang diberikan kepada Anwar sahih dan tidak boleh diragui oleh sesiapa pun walaupun atas motif apa sekalipun terhadap Anwar.