Malaysia Dateline

Institut Pendidikan Guru di Tawau.

Muktamadkan keputusan elaun guru pelatih, jangan mangsakan penuntut IPG

Mahasiswa Parti Amanah Negara (Mahasiswa Amanah) mahu keputusan untuk memansuhkan elaun pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) oleh Kementerian Pendidikan ditarik balik memandangkan usaha melahirkan golongan pendidik sangat penting dalam membangunkan negara.

Sehubungan itu, satu memorandum akan diserahkan kepada pihak kementerian di Putrajaya pada Rabu, 26 Julai akan datang.

Pengerusinya Fadhli Umar Aminolhuda berkata, kenaikan kos sara hidup yang tinggi dan keperluan untuk menambah guru khususnya di kawasan pedalaman menjadikan cadangan kerajaan ini sebagai tindakan terdesak dan tidak bertanggungjawab sedangkan kerajaan menjanjikan pungutan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan memberikan pulangan dan keuntungan kepada rakyat.

Langkah memansuhkan elaun pelatih IPG ini juga dianggap keterlaluan kerana kerajaan sudah pun menafikan hak biasiswa di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam selain mengurangkan hampir 50% peruntukan  universiti-universiti awam.

“Atau adakah segala potongan ini digunakan untuk membayar segala hutang 1MDB dan menampung jet peribadi Perdana Menteri?” ujar Fadhli sinis.

Pada 15 Julai lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa elaun khas penuntut IPG akan dimansuhkan mulai pengambilan pelajar Jun 2018.

Ini termasuk elaun sara diri sebanyak RM430 sebulan dan elaun balik kampung sebanyak RM500 setahun.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia Kamarozaman Abd Razak dalam satu kenyataan mendesak kerajaan supaya mengkaji semula keputusan itu yang bakal menatijahkan kesan besar kepada bakal guru khususnya mereka yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Mengulas lanjut, Fadhli menyifatkan kenyataan menteri pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, 18 Julai lalu bahawa keputusan untuk memansuhkan elaun IPG belum dimuktamadkan sebagai melucukan.

“Bagaimana satu kenyataan rasmi dikeluarkan (kementerian) dalam keadaan ianya belum dimuktamadkan?” soal beliau.

Mahdzir menyatakan bahawa tempoh dua bulan diperlukan bagi kerajaan menjalankan kajian sama ada untuk memansuhkan elaun IPG atau tidak namun Mahasiswa Amanah mendesak agar ianya tidak dimansuhkan dan terus diberikan kepada generasi bakal pendidik anak bangsa.