Malaysia Dateline

Muktamadkan segera pemilihan Anwar sebagai Perdana Menteri

Kemelut pemilihan calon Perdana Menteri ke 9 oleh Pakatan Harapan (PH) sewajarnya telah dimuktamadkan, tegas Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia, Fariz Musa.

Fariz Musa

Katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus diberi peluang dan ruang untuk menerajui kepimpinan negara sejurus PH berjaya mengambil alih kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN).

“Berdasarkan reaksi spontan daripada undian online yang telah dibuat oleh Jingga 13 Malaysia dalam tempoh tujuh jam, daripada 2,276 orang yang telah membuat undian, 84.67 peratus iaitu 1,927 orang tidak bersetuju Tun Dr Mahathir menerajui kepimpinan sekali lagi sekiranya PH kembali berkuasa,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya amat berharap Anwar dinobatkan sebagai PM supaya tidak lagi timbul pelbagai tanggapan negatif terhadap PH yang mampu mencelarukan lagi keadaan berdasarkan kepada kejatuhan PH setelah menerajui kepimpinan sebelum ini.

“Kepimpinan Anwar masih lagi relevan dan sokongan yang padu harus diberikan supaya ia dapat melaksanakan segala rencana yang telah dirancang demi masa depan PH dan rakyat negara ini,” tambah Fariz lagi.