Malaysia Dateline

Muktamar ke-66 buktikan Pas hanyalah parti pak pandir

Selepas menantikan sekian lama untuk membentuk kerajaan, akhirnya pada tahun ini berjayalah juga Pas mencapai hasrat itu walaupun secara ‘tebuk atap’ seperti diistilahkan oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Pada minggu lalu juga, Pas selesai mengadakan muktamar ke-66 di Kelantan dengan penuh kebanggaan kerana menjadi sebahagian parti pemerintah.

Sudah pasti, dengan kedudukan tersebut, ramai perwakilan, orang ramai termasuk media menanti-nantikan ucapan perbahasan yang lebih bernas, berwibawa dan menampilkan kewibawaan parti tersebut sebagai kerajaan.

Malang sekali penantian itu berakhir dengan penuh kekecewaaan hatta kepada pemimpin dan ahli Pas sendiri. Kekecewaan paling awal terhasil apabila Pas seperti parti yang melukut di tepi gantang apabila tidak diberikan walau sebuah kerusi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Begitu malang sekali nasib Pas walaupun Abdul Hadi Awang mengakui tiada masalah kepada parti itu bertanding dengan menggunakan lambang dacing Barisan Nasional (BN).

Kekecewaan yang cuba dipujuk oleh Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dengan berdalih kononnya langkah tidak bertanding adalah satu strategi nampaknya gagal diterima oleh kebanyakan pemimpin.

Cuba menyembunyikan kekecewaan, ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula mengatakan pihak yang mentertawakan Pas kerana tidak mendapat kerusi untuk bertanding adalah orang yang gagal.

Sesiapa sahaja boleh faham bahawa antara punca Pas diketepikan dalam PRN Sabah adalah kerana sikap tidak bertoleransi ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Mohamad Zawawi Salleh terhadap agama Kristian ekoran kenyataannya di Dewan Rakyat bahawa kitab Injil yang digunakan oleh penganut agama itu telah diselewengkan.

Tanpa menunggu lama, ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari pula dengan agresif membalas sikap tidak bermuafakat sekutunya dengan mencadangkan supaya Pas diberikan kuasa untuk mendominasi sepenuhnya kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sudah pasti kenyataan ini akan memberi kesan kepada proses pembahagian kerusi antara sesama parti komponen. Kalau dahulu Muafakat Nasional hanyalah melibatkan parti utama seperti Pas dan Umno. Tetapi selepas membentuk kerajaan tebuk atap, pembahagian kerusi semakin sukar kerana telah melibatkan Bersatu.

Gabungan parti politik yang menggunakan identiti Melayu-Islam itu hakikatnya bukan sahaja sukar untuk mencari formula pembahagian kerusi yang adil lagi saksama, malah kejituan mereka kepada perjuangan asal Muafakat Nasional juga semakin diragui dan dikesalkan.

Hal ini boleh sahaja dilihat berdasarkan kepada luahan Presiden Isma, Aminuddin Yahaya yang kerap membangkitkan kekecewaan ekoran kelemahan kerajaan baharu meneruskan apa yang telah diperjuangkan sesama menjadi pembangkang.

Persoalan sekolah vernakular, pembelaan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dan sebagainya yang gagal ditangani dipertikaikan secara terbuka oleh Isma.

Berbalik kepada penganjuran muktamar tadi. Selain kekecewaan gagal bertanding di Sabah, rata-rata laporan media termasuk lidah rasmi Pas, Harakadaily dengan jelas mendedahkan betapa para perwakilan sudah semakin bijak menggunakan bahasa elit berbanding marhaen.

Mereka mula pandai untuk mencipta pelbagai dalih supaya ada jawatan dan gelaran boleh diberikan kepada pemimpin walaupun hanya di peringkat kawasan. Contohnya apabila Nik Zawawi yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat mencadangkan supaya diwujudkan jawatan penasihat syariah bagi setiap peringkat dan agensi kerajaan.

Sudah tentu jawatan ini diciptakan untuk pemimpin Pas sahaja sementelah mereka menganggap bahawa golongan mereka sahajalah yang paling memahami hukum-hakam Islam.

Kemudian, perwakilan Wilayah Persekutuan, Abdul Rani Mohamad Daud dengan tidak semena-mena mencadangkan agar pemimpin parti itu di beberapa peringkat pertubuhan diberikan gelaran kebesaran seperti Dato’ yang kononnya boleh meningkatkan penghormatan dan keterujaan ahli kepada pucuk pimpinan.

Demi untuk memastikan jawatan pemimpin dalam barisan kabinet tidak digugat, muncul pula seorang peserta yang mempersoalkan kelemahan tentera siber yang digelar ‘Mujahid Cyber’ kerana gagal mempertahankan Khairuddin Aman Razali selepas didapati ingkar mematuhi arahan kuarantin Covid-19 selepas pulang bercuti dari Turki.

Begitulah gambaran betapa hancurnya prinsip akhlak dan integriti pemimpin dan ahli Pas apabila masih menegakkan benang yang basah walaupun kesalahan yang dilakukan begitu terang bersuluh.

Jika dahulu ulama Pas bolehlah dianggap mempunyai kewibawaan dalam membawa semangat perjuangan Islam, tetapi muktamar yang berlangsung menunjukkan kemunduran yang melampau sehingga boleh dianggap sudah kembali kepada jalur ekstrem, fanatik dan taksub.

Hal ini boleh dilihat kepada kenyataan perwakilan Pas Kelantan yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Hassan Mahamood yang menyebut dua perkara yang amat ekstrem. Pertama, menggelarkan sesiapa yang bertanya tentang pelaksanaan hudud sebagai ‘suara syaitan’ dan kedua menyalah tafsir konsep ‘Faqtuluh’ (bunuh dia) kepada golongan yang cuba pecah-belahkan keakraban Pas-Umno.

Secara umum, muktamar Pas kali ini gagal menggerunkan musuh politiknya tentang keberadaan mereka sebagai parti pemerintah. Untunglah, hampir tiada ahli Pas yang berani mengangkat kepala melawan arus. Mungkin kerana setakat ini doktrin pembekuan fikrah melalui konsep wala’ masih kekal membelenggu minda ahli-ahli Pas.

Seperti gelagat pak pandir, segala kesalahan yang dibuat oleh para pemimpin akan segera dipertahankan dengan pelbagai dalih oleh ahli-ahlinya.