Muktamar Pas mantapkan proses kerjasama dengan Umno

Muktamar Pas mantapkan proses kerjasama dengan Umno

Muktamar Tahunan Pas ke-64 di Terengganu pada Sabtu lalu adalah bersejarah kerana inilah pertama kali kerjasama dengan Umno ditampilkan secara terbuka, dan diterima pula oleh ahli-ahlinya.

Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi hadir dalam majlis pembukaan muktamar itu.

Kehadiran bekas Timbalan Perdana Menteri, walaupun ia dikatakan hanya memenuhi jemputan tetapi itulah isyarat hubungan baik antara Umno dan Pas.

Penulis terkenang Muktamar Tahunan Pas pada tahun 1990 yang diadakan di Markas Tarbiyyah Pas Pusat di Taman Melewar.

Muktamar bersejarah

Buat pertama kalinya pemimpin-pemimpin Parti Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ibrahim Ali hadir dalam majlis pembukaan.

Ia menandakan kerjasama Pas dan Semangat 46 yang membawa kepada penubuhan Angkatan Perpaduan Ummah.

Begitu juga ketika Pas berada dalam Pakatan Rakyat. Pemimpin-pemimpin PKR dan DAP turut hadir pada majlis pembukaan Muktamar Tahunan.

Kehadiran pemimpin parti lain dalam majlis itu bukan sekadar memenuhi jemputan tetapi ia adalah pernyataan kerjasama dan langkah politik bersekutu.

Maknanya Pas sekarang sememangnya bersekutu dengan Umno.

Perubahan persepakatan adalah perkara biasa dalam politik. Kalau dahulu, Pad pernah bersekutu dengan Semangat 46 dan kemudiannya PKR, apa salahnya sekarang ia bersekutu dengan Umno.

Itu perkara harus dan biasa dalam politik yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

Proses kerjasama ini sudah bermula sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-13 pada tahun 2013, khususnya apabila tiada lagi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Proses kerjasama itu berjalan langkah demi langkah hinggalah selepas Pilihanrp Raya Umum ke-14, ia dapat dilihat dengan jelas, Umno dan Pas berpakat dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis dan Seri Setia. Muktamar ini hanya memantapkan kerjasama kedua-dua pihak.

Inilah jalan yang diambil oleh Pas dan Umno untuk masa akan datang.

Sekat Anwar

Kerjasama ini akan dimantapkan lagi dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen bagi Port Dickson. Pas dan Umno akan berusaha menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi ahli parlimen dan selanjutnya menyekat beliau daripada dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selanjutnya kerjasama Paa dengan Umno, MCA dan MIC ini akan digunakan untuk mengalahkan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-15.

Tetapi lima tahun adalah masa yang lama dalam politik. Apa saja perubahan boleh berlaku dala politik. Sekelip mata, sesuatu pihak boleh menjadi skutu atau seteru.

Namun kerjasama Pas dengan Umno bukanlah perkara baharu. Ia pernah berlaku dari tahun tahun 1974 hingga 1978 ketika kerajaan campuran Pas dan Perikatan ditubuhkan, dengan akhirnya diwujudkan Barisan Nasional.

Namun Pas zaman itu adalah berbeza. Ini kerana Pas melalui suatu perubahan mendadak dan besar apabila berlaku perubahan kepimpinan pada tahun 1982.

Pas pimpinan Yusof Rawa menggantikan Datuk Asri Muda sebagai ketua parti. Dengan fahaman Kepimpinan Ulama, Pas berubah.

Walaupun Yusof adalah pemimpin lama tetapi beliau membawa aspirasi baharu.

Aspirasi ini menolak pemikiran Pas lama. Pas berkepimpinan ulama ini dianggap sebagai parti segar yang berbeza daripada watak sebelumnya.

Pas dari tahun 1955 hingga 1982 dianggap sebagai parti lama yang tidak benar-benar Islami kerana dilihat berkompromi dengan nasionalisme dan sekularisme.

Pas baharu tegas menolak nasionalisme yang dianggap sebagai asabiah, dan sekularisme yang dilihat sesat.

Fikrah Pas baharu ini dicorakkan dengan pemikiran timbalan pada Yusof iaitu Fadzil Noor dan naib-naibnya Abdul Hadi Awang dan Nakhaie Ahmad.

Ia juga disokong oleh Ketua Dewan Ulama, Nik Aziz Nik Mat dan Mustafa Ali. Pemimpin-pemipin pemuda seperti Halim Arshat, Khalid Samad dan Mohamad Sabu turut menjadi pendukung Pas baharu ini.

Kepimpinan ulama

Malah struktur Pas juga diubah untuk mencerminkan Kepimpinan Ulama ini, iaitu penubuhan Majlis Syura yang diketuai oleh Mursyidul Am.

Perjuangan Pas ditetapkan jelas bertentangan dengan Umno. Ia bukan saja soal politik tetapi juga agama.

Politik tidak boleh dipisahkan daripada agama. Pemisahan poilitik dengan agama dianggap sekularisme.

Perjuangan Pas juga bersifat ummah dan alami, atau global. Sedangkan perjuangan Umno bersifat kebangsaan atau nasional. Kebangsaan dan perkauman dianggap sebagai asabiah yang ditolak oleh Islam.

Sebab itu, Umno adalah seteru utama Pas walaupun ia merupakan parti orang Melayu yang beragama Islam. Pas boleh bekerjasama dengan parti lain tetapi bukan dengan Umno.

Kerana sifat sekularisme dan nasionalisme Umno, parti yang mengetuai Barisan Nasional dan menjadi kerajaan wajib ditumbangkan melalui pilihan raya.

Walaupun pada tahun 1982, Umno dipimpin oleh Dr Mahathir dan disertai Anwar Ibrahim yang mana kerajaan Barisan Nasional ketika itu memperkenalkan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, menubuhkan Bank Islam dan Universiti Islam Antarabangsa.

Bagi Pas, langkah-langkah Barisan Nasional tidak menepati konsep Negara Islam yang diperjuangkannya.

Ketika itu, adalah tidak salah bagi Pas untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain bagi menumbangkan kerajaan Umno dan Barisan Nasional.

Dalam pilihan raya umum 1986, Pas menubuhkan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) yang disertai oleh parti-parti pembangkang lain walaupun semua mereka adalah parti sekular.

Dalam pilihan raya 1990, Pas bekerjasaa dengan Parti Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah walaupun parti itu bersifat nasionalis dan sekular seperti Umno.

Kerjasama Pas adalah atas asas demokrasi dan menentang penyelewengan.

Begitu juga ketika kerjasama dengan Parti Keadilan Nasional dan mendukung gerakan Reformasi pada tahun 1999.

Atas dasar mendokong keadilan, Pas bekerjasama dengan DAP dan Parti Rakyat Malaysia di bawah Barisan Alternatif. Selepas penubuhan Pakatan Rakyat, Pas menyertai kerajaan yang di dalamnya turut ada DAP.

Semua kerjasama adalah atas asas menentang Umno dan Barisan Nasional. Ia adalah atas fikrah yang dilakarkan ketika mebangunkan gagasan Kepimpinan Ulama dalam Pas pada tahun 1982.

Teras fikrah ini terletak pada hujah Abdul Hadi yang diungkapkan dalam ceramah-ceramah beliau iaitu penentangannya terhadap Umno adalah kerana parti Melayu itu berfahaman sekular dan nasionalisme.

Umno bukan lagi musuh utama

Tetapi jalan pemikiran ini telah diubah pada tahun 2013 apabila Umno tidak dianggap sebagai musuh utama.

Sebaliknya kini Pas bekerjasama dengan Umno. Musuh utama Pas sekarang ialah DAP dan Pakatan Harapan.

Musuh fikrah Pas sekarang bukan lagi nasionalisme dan sekularisme yang dibawa oleh Umno. Kali ini apa yang didakwa sebagai cabarannya ialah Islamofobia dan liberalisme.

Maknanya, menurut mereka Islamofobia dan liberalisme yang membuatkan rakyat menolak Pas. Sedangkan Pakatan Harapan berkempen atas isu kleptokrasi yang dikaitkan dengan Umno dan Barisan Nasional.

Rakyat mahukan kerajaan bersih, beramanah dan berkesan. Ia tidak berkaitan dengan Islamofobia atau liberalisme.

Sedangkan Pas pula bersekutu dengan parti yang dikaitkan dengan kleptokrasi.

Bukan itu saja, Pas kini menyebut mengenai hak-hak orang Melayu. Pemikiran seperti ini pernah wujud dalam Pas sebelum tahun 1982. Datuk Asri membawa Pas bekerjasama dengan Umno dalam Barisan Nasional adalah juga menurut kerangka pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru.

Bukan itu saja. Dari sejak pilihan raya tahun 1959, Pas menekankan soal hak-hak orang Melayu. Asas bagi penentangan Pas terhadap Umno ialah parti Melayu itu menubuhkan kerajaan bersama dengan kaum lain iaitu MCA dan MIC.

Gagasan Kepimpinan Ulama pada tahun 1982 membawa Pas keluar daripada pemikiran orientasi hak Melayu kepada bersifat inklusif dan global selaras dengan perwatakan ajaran Islam.

Maka apabila bersekutu dengan Umno, Pas telah kembali kepada kedudukannya sebelum tahun 1982.

—-
Zin, bekas editor kanan akhbar Utusan Malaysia dan pernah menjadi Pengarang Kumpulan Harakah, lidah rasmi Pas.