Mula-mula marah Menu Rahmah, bila lihat pelanggan datang bawa anak makan terus rasa sejuk hati

Oleh KIM SYAZIE

Kerajaan tidak memaksa mana-mana peniaga untuk perkenal Menu Rahmah di kedai makan masing-masing.

Malah tidak juga menetapkan menu apa yang layak untuk berada dalam kategori Menu Rahmah, apa yang penting adalah harganya di bawah RM5.

Seorang peniaga memuat naik pendapat mengenai menu Rahmah di akaun TikTok, @abgchik66, pada mulanya dia mengaku marah dengan menu tersebut.

Dia mempertikai sama ada kerajaan mahu membunuh perniagaan kerana kos bahan tinggi, tapi bila difikir semula sebenarnya Menu Rahmah boleh dilaksanakan.

“Abang Chik perkenal Menu Rahmah di kedai dan Alhamdulillah.

“Rasa seronok sangat lihat satu keluarga datang, bawa anak lima ke enam orang untuk cuba menu tersebut.

“Bukan semua orang mampu nak datang makan di kedai kita,” ujarnya.

Pada masa sama lelaki tersebut juga berkongsi masih mendapat keuntungan walaupun jual hanya pada harga RM5 walaupun tidak banyak.

Kadangkala ramai lebih memilih untuk mengkritik sebelum melaksanakan sesuatu hal, padahal ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Baca juga: Minta isteri letak topi untuk memancing, lelaki terpaksa guna ‘pampers’ di kepala